HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2021

DAP, MCA ‘bergaduh’ lagi kali ini dalam isu pembinaan Hospital UTAR

Athirah Huda Zalhe

MCA kini giat kumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM150 juta

BANGI – DAP mengingatkan MCA untuk tidak lupa akan projek pembinaan Hospital Kampar yang dibatalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pada ketika parti berteraskan kaum Cina itu cuba membina Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

MCA melalui Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon sedang giat mengumpul sumbangan orang ramai bagi merealisasikan usaha pembinaan Hospital UTAR yang dianggarkan bernilai RM150 juta.

Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhe Min berkata, pada 2019, PN telah meluluskan peruntukan sebanyak RM416 juta dalam Belanjawan 2020 untuk membina sebuah hospital dan 20 klinik baharu.

Katanya, hospital yang diluluskan pembinaannya pada masa itu ialah hospital kerajaan di Kampar

Kata ADUN Keranji itu lagi, setelah peruntukkan dan tapaknya diluluskan, pembinaan Hospital Kampar sepatutnya berjalan tahun lepas tetapi PN telah membatalkannya.

“Pada tahun 2012 bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengumumkan Barisan Nasional (BN) meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pembinaan Hospital Kampar, tetapi rancangan pembinaannya telah dibatalkan pada 2017. 

“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, projek pembinaan Hospital Kampar dirancang semula, kawasan pembinaan baru ditetapkan dan telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.

“Parlimen juga meluluskan peruntukkan untuk pembinaan hospital ini, tapi setelah Langkah Sheraton, PN membatalkan projek ini,” katanya seperti dilapor Portal Enanyang, semalam.

Zhe Min percaya, MCA dan UTAR mampu merealisasikan impian untuk membina Hospital UTAR.

Tiada ulasan: