HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2021

Polis terima 18 laporan mengenai rakaman audio tular mirip Anwar, Zahid - Bukit Aman

Afiezy Azaman
Polis terima 18 laporan mengenai rakaman audio tular mirip Anwar, Zahid - Bukit Aman
Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.
 
KUALA LUMPUR: Polis menerima 18 laporan berhubung rakaman audio tular yang didakwa mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau kemungkinan terdapat pihak memalsukan rakaman itu bertujuan mencetus kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni antara dua parti politik.
 
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin mengundang kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar atau perkhidmatan rangkaian mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah.
 
"Penularan rakaman audio tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan ribuan komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu dikaitkan merupakan pemimpin politik berpengaruh," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Huzir turut mengesahkan memanggil Ketua Pembangkang itu untuk dirakamkan percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beliau telah hadir bersama peguamnya di Bukit Aman, hari ini.
 
"Tindakan memanggil Anwar ialah satu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan. Ini diperlukan untuk membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio tersebut dapat disahkan sebagai perbualan beliau bersama Zahid.
 
"Siasatan terperinci juga dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio tersebut, motif ia disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak tertentu untuk bertujuan menyebabkan atau mungkin mencetus kegentaran awam," ujarnya.
 
Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.
 
Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.

Tiada ulasan: