HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Wanita PKR, DAP desak tindakan tegas buat guru persenda rogol

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Wanita PKR menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil perhatian terhadap kenyataan pelajar perempuan yang mendakwa guru lelakinya membuat jenaka mengenai rogol dalam kelas dan mencetuskan kemarahan di media sosial.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Siddiq berkata dakwaan pelajar terbabit adalah hal yang serius serta melibatkan isu moral.

“Mempersenda jenayah rogol dan maruah wanita adalah jenayah gangguan seksual yang nyata serta melibatkan isu moral.

“Dakwaan perbuatan tidak bertanggungjawab warga pendidik tersebut adalah serius dan memerlukan siasatan menyeluruh kerana dibimbangi budaya rogol akan menular dan menjadi normalisasi dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fadhlina turut memuji keberanian pelajar perempuan terbabit untuk mempertahankan maruah wanita dan tegas menolak budaya rogol serta lawak lucah.

Semalam, Ain Husniza Saiful Nizam menerusi video TikTok mendedahkan kata-kata yang tidak menyenangkan itu dibuat semasa pelajar membincangkan isu gangguan seksual dalam kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya yang terletak di Kuala Selangor.

Ain, 17, juga berkongsi tangkap layar di Twitter mengenai aduannya kepada kaunselor sekolah berkenaan.

Meskipun kaunselor itu meminta maaf bagi pihak guru tersebut, dia juga memberitahu bahawa remaja lelaki suka membuat lawak kasar, tetapi tidak menyimpan ia di hati.

Ketika dihubungi, Ain memberitahu Malaysiakini dia bercadang untuk membuat aduan rasmi atas kata-kata yang tidak menyenangkan itu pada Isnin.

Ayahnya, Saiful Nizam Ab Wahab juga telah membuat laporan polis mengenai perkara itu malam semalam. 

Sementara itu, Anggota Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, berkata dia tidak dapat menerima tindakan pihak kaunseling sekolah yang seakan meremehkan perkara tersebut.

“Walaupun dia memohon maaf bagi pihak guru, tiada kenyataan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke pihak atasan.

"Tindakan memalukan ini dilihat melindungi pemangsa dengan tidak mengenakan tindakan keras sejak dari dulu hingga kini.

“Adakah kita perlu mengambil guru yang membuat jenaka rogol dan pedofilia di sekolah?" soal Kasthuri.

Kasthuri turut menggesa Menteri Pendidikan Radzi Jidin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun serta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melakukan tindakan tegas susulan perkara tersebut.

Katanya sebagai bekas menteri dalam negeri Muhyiddin perlu membuktikan kerajaan memandang serius isu pelajar di sekolah bertindak ke atas pihak yang terbabit.

"Bukannya bertindak ke atas pereka grafik atau aktivis,” kata Kasthuri merujuk kepada penahanan Fahmi Reza beberapa hari lalu.

Tiada ulasan: