HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Shahidan sasar Zahid selepas dipecat, gesa tindakan diambil berhubung surat, audio

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Beliau berkata surat itu adalah pelanggaran dasar 'No Anwar'.

Pengerusi Umno Perlis yang dipecat Shahidan Kassim menggesa tindakan disiplin diambil ke atas sesiapa yang menentang keputusan parti untuk tidak bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas beberapa jam beliau dipecat daripada jawatannya hari ini.

“Siapa yang langgar keputusan parti iaitu ‘No Anwar, No DAP, No PKR’, kita dapati ada satu surat yang ditulis presiden kepada Agong dan disaksikan Najib,” katanya malam ini kepada pemberita dipercayai merujuk surat yang ditulis Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak kepada Istana Negara bagi memaklumkan sokongan mereka kepada Anwar dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini adalah melanggar keputusan parti,” katanya.

Beliau berkata tindakan yang sama harus diambil jika rakaman perbualan telefon antara Zahid dan Anwar itu dibuktikan tulen.

Dalam pada itu, Shahidan turut memberikan isyarat beliau boleh mendedahkan butiran mengenai maklumat yang beliau tahu mengenai beberapa pihak dalaman Umno yang sedang bekerjasama dengan Anwar, namun beliau akan putuskan perkara tersebut selepas Ramadan.

Katanya, beliau tidak memahami keputusan Perhimpuan Agung Umno (PAU) baru-baru ini yang mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sedangkan Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata parti itu hanya akan putuskan kerjasama selepas Parlimen dibubarkan bagi pilihan raya.

Kerana itu, katanya, beliau tidak melanggar apa-apa keputusan parti ketika membantah gesaan supaya Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan PN.

“Kalau saya bersalah, contohnya saya dalam pilihan raya sokong lain boleh ambil tindakan.

“Ikut pada masa pilihan raya. Bukan masa sekarang. Sekarang mesti sokong PN, dan harus kerjasama dengan semua parti komponen PN, Umno, PAS, GPS dan Star.

“Makna kata, polemik politik hari ini, yang masa pilihan raya, dibincangkan, padahal masa pilihan raya barulah kita menolak parti lain,” katanya.

Menurutnya, sebagai orang yang mengetuai penyokong PN, ia adalah tugas beliau untuk memastikan ahli Parlimen kerajaan terus bekerjasama.

Bagaimanapun, Shahidan turut menambah tidak memiliki masalah dan menerima keputusan Zahid untuk memecatnya.

Katanya, itu adalah hak presiden parti dalam memilih ketua-ketua Umno negeri.

“Menurut perkiraan politiknya, sewajarnya timbalan saya diberi peluang, kalau saya tak diberi kepercayaan, kerana dia menang 5 kerusi di Padang Besar, apa pun pendirian dia layak diberikan pertimbangan.

“Presiden dah buat keputusan, saya belum terima surat rasmi, saya hanya tahu daripada media,” katanya.

Menurut Shahidan, beliau mengesyaki wujud perancangan untuk mengganggu ucapannya dalam PAU bulan lalu selepas beliau “diboo” beberapa perwakilan.

Beliau turut berkata mesyuarat pengerusi perhubungan negeri dan Majlis Tertinggi Umno akan diadakan esok.

Namun sejajar keputusan yang diterimanya hari ini, beliau tidak akan menghadirinya.

Tiada ulasan: