HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 April 2021

Hutang 1MDB RM40 bilion, cukup untuk bayar vaksin 8 kali, kata Zafrul

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Kerajaan terpaksa menggunakan dana KWAN bagi menampung perbelanjaan program vaksinasi Covid-19 dan usaha membendungnya selepas menanggung beban hutang 1MDB.

Putrajaya hari ini mempertahankan langkahnya menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perolehan vaksin Covid-19, kerana ketika ini kerajaan tidak memiliki pilihan simpanan lain akibat tanggungan hutang berkaitan skandal 1MDB.

Menteri kewangan berkata kerajaan telah mewarisi lebih dari RM1 trillion hutang dan liabiliti yang turut berkaitan 1MDB di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Sebagai contoh, obligasi 1MDB sebanyak RM 40 bilion cukup untuk membayar kos vaksin sebanyak 8 kali ganda,” katanya dalam respons terhadap pengkritik yang mempertikaikan langkah kerajaan menggunakan dana KWAN untuk membiayai Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan.

“Jadi, apakah pilihan terbaik yang wajar diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mewarisi obligasi untuk membayar balik liabiliti seperti PFI secara off balance sheet, 1MDB, SRC dan sebagainya yang dianggarkan melebihi RM 20 bilion setahun untuk 5 tahun akan datang?” tanya beliau di samping turut menambah pembayaran hutang 1MDB mampu membiayai pelbagai pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan impak Covid-19, seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan program subsidi gaji serta program vaksinasi negara.

Beliau berkata menggunakan dana KWAN mampu mengelakkan negara daripada penambahan hutang yang akan diwarisi generasi akan datang.

“Kerajaan bertanggungjawab menjaga generasi masa kini kerana sekiranya generasi kini terjejas belum tentu generasi akan datang dapat mengecapi kemakmuran.

“Kerajaan juga komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis ini berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh,” kata Zafrul.

Menurutnya lagi, langkah untuk menggunakan dana KWAN bagi membiayai pembelian vaksin akan memakan sejumlah RM5 billion dari dana RM20 bilion yang terkumpul sekarang ini.

Kerajaan juga baru-baru ini telah mewartakan pindaan akta yang membenarkan penggunaan dana KWAN bagi perolehan vaksin dan beberapa perbelanjaan lain yang berkaitan usaha membendung Covid-19.

Zafrul berkata, ketika ini, dana KWAN adalah sumbangan RM10.4 bilion dari Petronas, selain pulangan kumulatif pelaburan sebanyak RM9.1 bilion.

Beliau berkata penggunaan dana itu untuk membiayai vaksin Covid-19 adalah selari dengan undang-undang dan boleh dipertanggungjawabkan, di samping menambah bahawa RM42 juta juga sebelum ini pernah dikeluarkan bagi membiayai projek Paya Indah Wetlands di Putrajaya.

“Saya tidak tahu sama ada ia perbelanjaan kecemasan atau tidak,” tambahnya.

Beliau berkata KWAN ditubuhkan dengan matlamat untuk manfaat generasi akan datang.

“Kita adalah generasi akan datang yang dimaksudkan sewaktu penubuhannya,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: