KUALA LUMPUR – Kecekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan ekonomi mampu mengembalikan kekayaan negara.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peningkatan prestasi ekonomi negara bukan sahaja di atas kertas, tetapi lebih penting, dinikmati segenap lapisan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah dan di luar bandar.
Menurutnya, menerusi dasar kewangan yang cekap dan telus, strategi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hanya bersifat ‘sementara’.
“Ia bukan taktik memberi ‘gula-gula’ yang sering diamalkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka, tetapi sebaliknya merangkumi pelan pembangunan jangka panjang yang lebih efektif dan lestari.
“Ia di samping program jangka pendek yang dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan ketika menghadapi cabaran wabak Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada pengagihan dividen RISDA dan Felcra dengan nilai keseluruhan RM189.08 juta seperti diumumkan.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan dividen RISDA berjumlah RM82.03 juta diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB).
Menurut Wan Saiful lagi, jumlah agihan akhir Felcra sebanyak RM107.05 juta itu adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada 2019.
“Tahniah saya ucapkan kepada barisan Kabinet PN walaupun setiap hari ada ‘kluster merungut’ yang cuba mencipta persepsi palsu kerajaan ini gagal supaya mereka nampak seperti hero yang bersih.
“Hakikatnya kerajaan PN terus menempa kejayaan demi kejayaan yang dikongsi dengan rakyat. Ini membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan cekap dan prihatin,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan