HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Mesyuarat MT: Pemilihan UMNO mungkin ditangguhkan kerana COVID-19

Astro Awani
Mesyuarat MT: Pemilihan UMNO mungkin ditangguhkan kerana COVID-19
UMNO masih mempunyai tempoh 18 bulan selepas Perhimpunan Agung 
UMNO berlangsung, dan kepimpinan akan dinasihatkan untuk tidak 
terburu-buru dalam melaksanakan pemilihan tersebut. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: UMNO dilaporkan akan menangguhkan pemilihan partinya, yang sepatutnya berlangsung Jun ini, dengan mengambil kira faktor penularan COVID-19 sebagai faktor utama.
 
Akhbar Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, ia antara beberapa perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Teringgi (MT) UMNO petang ini, termasuk tempoh sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Sumber itu memberitahu akhbar berkenaan, UMNO masih mempunyai tempoh 18 bulan selepas Perhimpunan Agung UMNO berlangsung, dan kepimpinan akan dinasihatkan untuk tidak terburu-buru dalam melaksanakan pemilihan tersebut.
 
““UMNO cakna dengan situasi COVID-19 yang membimbangkan namun isu pemilihan UMNO sepatutnya dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat. Tetapi keputusannya tidak semestinya diputuskan esok (hari ini).
 
“Kita tidak perlu tergesa-gesa. Kita harus mengambil kira hak setiap ahli untuk mengundi pada pemilihan UMNO namun disebabkan kes COVID-19 terus mencatatkan angka tinggi maka sudah tentu wujud kebimbangan untuk melaksanakan pemilihan,” kata sumber tersebut seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pada 3 April lepas dilaporkan sebagai berkata, pemilihan berkemungkinan akan dilakukan pada hujung tahun ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
 
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilaporkan sebagai berkata, sekiranya tiada pengumuman PRU selepas Proklamasi Darurat berakhir pada 1 Ogos ini, maka UMNO akan memulakan pemilihan di peringkat cawangan terlebih dahulu, dan seterusnya di peringkat bahagian pada September.
 
Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, tarikh sebenar pemilihan parti hanya akan ditentukan melalui mesyuarat MKT pada petang Ahad.
 
Kenyataan kedua-dua pemimpin kanan parti itu adalah sebagai reaksi kepada gesaan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang bertegas bahawa pemilihan perlu dilakukan sebelum PRU15, supaya segala kemelut dalaman parti dapat diselesaikan dengan lebih awal.
 
Ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu lagi, pemilihan parti lebih awal dapat membantu UMNO menyediakan barisan kepimpinan yang diyakini dapat menarik sokongan masyarakat untuk mendapat mandat yang lebih jelas, berbanding barisan sedia ada.
 
"Segerakan pemilihan parti. Lakukan perkara yang tepat, Majlis (Kerja) Tertinggi (MKT). Anda tahu kita tak boleh teruskan dalam keadaan begini," kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu dalam catatan menerusi Instagramnya.

Tiada ulasan: