HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 April 2021

Sokong Anwar: Sampai bila MT UMNO nak berdiam diri?

AGENDA DAILY

Datuk Seri Shahidan Kassim pada sidang media malam tadi. Turut sama, kegtua Wanita UMNO Perlis, Datuk Shamsiah Yasin.

Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dilihat masih berdiam diri terhadap pemimpin yang melanggar keputusan parti menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua UMNO Bahagian Arau itu berkata apakah tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang cuba melakukan gerakan menyokong Anwar sedangkan parti telah membuat ketetapan ‘No Anwar’, No DAP’?

Katanya, MT atau jawatan kuasa disiplin parti tidak boleh berdiam diri dalam soal itu.

“Contohnya ada orang tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Anwar, itu sesuatu yang tidak boleh didiamkan. MT nampaknya diam, jawatan kuasa disiplin pun nampaknya diam, ambil lah tindakan kalau betul.

“Kalau tidak salah tidak mengapalah, tetapi kena beritahu. Ini kata ‘No Anwar, No Dap’ tetapi pergi menyokong Anwar. Kalau ada orang pergi menyokong Anwar, DAP maka orang itu perlu dikenakan tindakan,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Tambah Shahidan, MT kena beri perhatian serius kepada orang melanggar keputusan parti tersebut.

“Kalau ada membuat gerakan menyokong Anwar salah atau tidak. Kalau tidak salah tidak apa mungkin keputusan MT ‘No Anwar, No DAP’ tetapi nak sokong Anwar bolehlah,” katanya.

Sementara itu, Shahidan memberi gambaran terdapat dalam kalangan ahli Parlimen UMNO melakukan gerakan mendapat tandatangan menyokong Anwar.

Bagaimanapun beliau berkata, perincian mengenai isu tersebut akan didedahkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

“Yang lain-lain lepas raya lah. Lepas raya saya hendak cerita sikit pasal gerakan yang dibuat dalam kalangan ahli Parlimen dan saya tahu siapa yang tandatangan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Shahidan memaklumkan pendedahan akan dibuat berhubung dakwaan usaha Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mengumpulkan tandatangan untuk menyokong Anwar baru-baru ini di Parlimen.

Tiada ulasan: