Bernama
Wan Rosdy berkata kedua-dua pihak juga bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu. - Gambar fail
KUANTAN:
Tiada pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas melibatkan
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di
Pahang berdasarkan semangat dan keikhlasan Muafakat Nasional (MN) di
negeri ini.
Perkara itu dipersetujui
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Pahang dan Pesuruhjaya Pas negeri Rosli Abdul Jabar
menerusi satu kenyataan yang ditandatangani bersama pada Rabu.
Pimpinan
MN negeri ini, menurut Wan Rosdy dan Rosli, melihat kerjasama politik
itu perlu dipertahankan demi kestabilan dan kemakmuran negeri selain
Pahang harus menjadi pengasas trend dan model perpaduan ummah yang padu
dan jitu di Malaysia.
Wan
Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri berkata kedua-dua pihak juga
bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu,
manakala perbincangan lanjut diperlukan bagi sembilan kerusi di bawah
Pakatan Harapan (PH).
"UMNO Pahang
berhasrat tidak akan meletakkan calon di lapan kerusi dimenangi PAS pada
PRU ke-14 dan tidak akan menyokong serta bekerjasama dengan calon yang
bertanding di kerusi tersebut kecuali calon PAS.
"Begitu
sebaliknya, PAS dengan berpandukan persetujuan dan pendirian PAS Pusat,
tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi DUN dimenangi UMNO dan BN
serta tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan pihak lain yang
bertanding di 25 kerusi itu," katanya.
Wan
Rosdy ditemui pemberita pada Majlis Iftar Bersama yang dihadiri semua
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua parti termasuk
Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur di kediaman rasmi Menteri Besar
Pahang di sini pada Rabu.
UMNO menang 24 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala satu lagi kerusi BN diperoleh menerusi MCA pada PRU ke-14.
Sementara
itu, Rosli semasa ditemui berkata Pas negeri akan memaklumkan kepada
pimpinan Pas Pusat supaya mereka diberikan sedikit kebebasan dalam
menentukan hala tuju pada pilihan raya akan datang.
Ditanya
mengenai kerjasama Pas negeri dalam Perikatan Nasional Pahang bersama
Bersatu dan Gerakan, Rosli hanya berkata: "perkara akan datang dibiarkan
akan datang dan bukan untuk dijawab sekarang".-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan