MALAYSIAKINI
Bagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said, penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan tentang sebab kerajaan tetap menggantung Parlimen, hanya membangkitkan lebih banyak persoalan.
Dalam bantahannya terhadap apa yang dinyatakan Takiyuddin, Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang daripada Umno meminta Takiyuddin memberi penjelasan lanjut.
Antara justifikasi Takiyuddin yang jug ahli Parlimen Kota Bharu adalah ketika Parlimen digantung, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh memberi pandangan kepada kerajaan melalui saluran seperti jawatankuasa bebas.
Azlina menyatakan Parlimen dan jawatankuasa tersebut mempunyai peranan yang jauh berbeza.
"Parlimen adalah badan perundangan tertinggi bagi kerajaan persekutuan meluluskan dan meminda undang-undang persekutuan, memeriksa dan menyoal dasar kerajaan melalui pertanyaan bagi jawab lisan, sesi kamar khas dan waktu pertanyaan menteri serta meluluskan belanjawan dan cadangan cukai baru.
"Sebaliknya, jawatankuasa khas bebas hanya bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu diteruskan atau tidak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, ahli Parlimen dan wakil rakyat tiada akses kepada prosiding mesyuarat jawatankuasa khas bebas, dan jawatankuasa itu juga tidak menjalankan siasatan atau inkuiri berdasarkan pendengaran awam.
Azalina berkata jika Takiyuddin membayangkan jawatankuasa tersebut sebagai menggantikan peranan Parlimen, maka jawatankuasa baru perlu diwujudkan yang merangkumi ahli Parlimen dan dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Azalina juga mempersoalkan kenyataan Takiyuddin bahawa rakyat tidak wajar sangsi yang kerajaan mungkin menyalahgunakan kuasa di saat Parlimen digantung.
Bagi Azalina, kenyataan Takiyuddin yang pentadbiran boleh terus dipantau oleh pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai "melepaskan batu di tangga".
Katanya, tidak hairanlah apabila Pengerusi PAC Wong Kah Woh telah mengeluarkan kenyataan bagi menolak pandangan Takiyuddin.
Terdahulu, Wong bertanya bagaimana PAC boleh memainkan peranannya apabila ia telah diarahkan untuk menggantung mesyuaratnya sepanjang tempoh darurat.
"Adakah kenyataan YB Kota Bharu mengatasi dapatan perundangan yang telah diberikan Peguam Negara, dan bererti kegiatan PAC kini boleh diteruskan?
"Seiring dengan ini, adakah kegiatan jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di Parlimen juga boleh diteruskan?" soalnya lagi.
Katanya, konsep pemisahan kuasa dan demokrasi berparlimen tidak boleh diabaikan, dan penggantungan Parlimen telah menjejaskan konsep itu.
"Tidakkah YB Kota Bharu berpendapat ada kebenaran dalam kata-kata: ‘the Constitution is not a document for the government to restrain the people; it is an instrument for the people to restrain the government'? (Perlembagaan bukan dokumen untuk kerajaan mengawal rakyat; ia adalah satu alat untuk rakyat mengawal kerajaan)."
Pada Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat jika perdana menteri menasihatinya untuk berbuat demikian, tetapi setakat ini ia belum berlaku.
Darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu dan dijadual tamat pada Ogos ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan