Astro Awani
Menurut
Ahmad Roslee, Ahmad Zahid harus tegas dengan kata-kata sendiri kerana
ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau
- Sumber foto UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR:
Keputusan mengadakan Pemilihan UMNO tahun ini melegakan ahli parti
untuk memilih kepimpinan baharu dan menggerakkan parti pada Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua UMNO
Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abd Hamid berkata, parti tidak ada sebab
untuk menangguhkan pemilihan melainkan alasan lain ditentukan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
"Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak ada sebab menangguhkan pemilihan, kalau
dia hendak kekal, bertandinglah, kalau dia bertanding, dia kuat.
"Walaupun dia terpalit kes, kalau dia menang, tidak boleh hendak salahkan ahli UMNO.
"Ahmad
Zahid harus tegas dengan kata-kata sendiri kerana ia akan membuatkan
pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau," katanya dalam
satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum
ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menghantar
surat kepada Ketua Pengarah RoS dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan
Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk UMNO
menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.
Setiausaha
Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia dibuat selaras
peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan SOP COVID-19.
Dalam pada itu kata Mohd Roslee, ahli perlu akur jika keputusan ROS kelak menyekat pemilihan diadakan tahun ini.
"Memandangkan
COVID-19 dan surat yang sudah dihantar kepada RoS, ada kemungkinan ahli
akan tersekat untuk hadir mesyuarat yang hanya dibenarkan separuh
kapasiti bangunan.
"Jadi UMNO tidak
nampak pengecut hendak buat pemilihan tetapi dengan meminta kebenaran
RoS akan menyebabkan secara tersiratnya ia mungkin ditangguhkan.
"Kita
bukan lagi parti pemerintah, jadi bukan kita yang tentukan bila
Parlimen akan dibubar atau sahaja alsan penangguhan pilihan parti kerana
hendak PRU15.
"Jadi alasan COVID-19 akan
digunakan jika pemilihan ditangguhkan kerana ia berkait rapat dengan
persidangan Parlimen yang juga tidak diadakan kerana alasan sama,"
tegasnya.
Mohd Roslee di dalam portal
SuaraTV sebelum ini berkata, Zahid harus tegas untuk mengotakan janji
beliau yang memberi jaminan pada Februari lalu bahawa pemilihan parti
akan tetap diadakan tahun ini.
Tambahnya, ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau.
Katanya,
pemilihan UMNO wajar dibuat sebelum PRU15 selain mengikut jadual dan
Perlembagaan parti yakni pemilihan setiap tiga tahun sekali.
"Kami tidak mahu Presiden UMNO tangguh untuk kepentingan pihak tertentu yang minta dilanjutkan. Presiden kalau dia 'firm' orang akan hormat.
"Kalau tangguh, berlengah orang akan anggap dia (Zahid) takut dengan desakan dalaman parti yang minta dia letak jawatan.
"Zahid
kena tegas, UMNO bukan mewah, Zahid bukan ada jawatan dalam Kabinet
malah bukan Timbalan Perdana Menteri pun," tegas Mohd Roslee, memetik
sebagai berkata dalam portal berita tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan