HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 April 2021

Guna sedikit dana KWAN berbanding hutang 1MDB zaman Najib

AGENDA DAILY

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tahap kewangan negara hampir mencapai had maksimum susulan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kementerian Kewangan (MoF) hari ini berkata kerajaan tidak ada pilihan untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi memerangi pandemik Covid-19, kerana tahap kewangan negara hampir mencapai had maksimum susulan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tahap hutang berkanun pada masa ini berada pada 58 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), mendekati tahap siling 60 peratus.

“Negara dibebani dengan hutang daripada 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI),” katanya pada sidang media, hari ini.

Media melaporkan bahawa hutang terkumpul 1MDB mencecah hampir RM42 bilion.

Zafrul berkata, kerajaan perlu menggunakan dana KWAN dan bukan membuat pinjaman kerana negara kini mewarisi lebih RM1 trilion pinjaman dan liabiliti kerajaan, termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1MDB dan PFI untuk perbelanjaan luar kunci kira-kira.

Skandal 1MDB bukan sahaja menggemparkan Malaysia malah menjadi skandal kewangan terbesar dunia ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Kes itu sedang dibicarakan di mahkamah di mana Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Najib, 67, juga dituduh di mahkamah menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan agar pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah ‘dimuktamadkan’ oleh Ketua Audit Negara sebelum ‘dimuktamadkan sekali lagi’ dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mengenai dana KWAN, Zafrul berkata ia akan digunakan untuk mempercepatkan pemerolehan vaksin Covid-19.

Katanya, KWAN memiliki dana RM19.5 bilion setakat 31 Disember 2020, merangkumi sumbangan Petronas sebanyak RM10.4 bilion dan baki RM9.1 bilion dari pulangan pelaburan terkumpul.

Mengikut Seksyen 6, Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) membenarkan dana KWAN digunakan selepas tempoh 10 tahun bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan membiayai pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Penggunaan dana KWAN hanya dihadkan untuk memperoleh vaksin, dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawa undang-undang.

“Anggaran RM5 bilion untuk pemerolehan vaksin hanyalah menggunakan pelaburan yang dijana (RM9.1 bilion) tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan,” katanya.

Tiada ulasan: