HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 April 2021

Zahid anggap Wan Saiful sebagai Kluster Spin

 Wartawan MalaysiaGazette

MGF28032021_PAU-UMNO55
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – ”Adakah patut Kluster Spin menyamakan wang KWSP dengan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN),” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Saiful Wan Jan.

Presiden UMNO itu menyelar kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah milik rakyat dan mereka keluarkan wang mereka sendiri untuk digunakan pada waktu sukar.

Itupun bukan mudah dapat kelulusan kerajaan.

Tetapi dana KWAN pula tabung amanah negara sebagai sumber berterusan negara dan generasi akan datang dan ia digunakan apabila sumber semulajadi negara contohnya minyak menyusut.

Namun, kata Ahmad Zahid, dana itu mahu dikorek Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum tiba masa dengan alasan Covid-19 selepas begitu banyak wang negara diperuntukan untuk tujuan sama.

”Justeru soalan kepada Kluster Spin siapakah sebenarnya yang merapu sehingga terbabas-babas disamakan dana KWSP dengan KWAN?,” soalnya.

Beliau mengulas kenyataan Wan Saiful yang mendakwa penggunaan dana KWAN sama seperti pengeluaran KWSP.

Katanya, segelintir pengkritik yang lantang mengkritik tentang penggunaan dana dari KWAN itu dianggap tidak konsisten dalam mengeluarkan pandangan.

Wan Saiful turut menggelar kumpulan pengkritik itu sebagai ‘Kluster Merungut’ kerana melontarkan pandangan tidak rasional serta tidak mencerminkan kepentingan untuk rakyat.

Kata Wan Saiful, kumpulan itu begitu lantang mengemukakan kewajaran kepentingan pengeluaran KWAN walhal pada masa sama kumpulan itu juga yang berjuang bantu rakyat keluarkan melalui KWSP.

Menurut Ahmad Zahid, Kluster Spin PPBM semakin merapu apabila cuba menunding jari kepada menteri dari UMNO dalam kerajaan PN di sebalik penggunaan dana KWAN.

”Kluster Spin kata UMNO gagal berbincang di peringkat dalaman dengan menteri dari UMNO yang menjaga hal kesihatan dan vaksin sebab terlalu ghairah nak tunjuk pandai.

”Memang sah ini Kluster Spin PPBM. Apa mandat UMNO untuk menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan PN dan adakah Perdana Menteri atau Menteri Kewangan dari UMNO?,” soal beliau lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: