HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

‘14 hari buka parlimen cadangan biro politik, bukan MT Umno’

Malaysiakini

Tempoh 14 hari yang diberikan Umno supaya kerajaan memulakan langkah membuka semula parlimen adalah pandangan biro politik Umno, bukannya Majlis Tertinggi, kata naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, secara dasar, meskipun biro politik boleh mengemukakan pandangan, keputusan parti adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi - yang setakat ini belum bermesyuarat membincangkan isu itu.

Oleh hal yang demikian, kata Ismail, persoalan apakah tindakan yang akan diambil Umno sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih tidak membuka Parlimen selepas tempoh 14 hari tersebut, belum dibincang dan diputuskan parti.

“Tak ada. Kita tak bincang,” katanya menjawab apakah Umno akan keluar daripada kerajaan PN selepas tamat tempoh diberikan.

Jelas menteri pertahanan, titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu dibuka “secepat mungkin” telah ditafsir dengan pelbagai interpretasi, dan tafsiran biro politik Umno pula terhadap secepat mungkin itu adalah 14 hari.

“Itu pandangan biro politik Umno ya, bukan Majlis Tertinggi. Dari segi dasar, yang boleh memutuskan dasar adalah Majlis Tertinggi.

“Biro politik hanya mencadangkan, tetapi Majlis Tertinggilah yang akan memutuskan. Jadi cadangan (biro politik) Umno supaya 14 hari diadakan persidangan.

“Tapi soalnya, kalau tidak mengadakan sidang (dalam tempoh itu), akan jadi? Apa tindakan? (Itu) Tidak dibincang,” katanya.

Pun begitu, katanya, di pihak Umno, tidak ada percanggahan bahawa parti bersetuju agar parlimen dibuka. 

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pesara tentera Suria Mohamad, 59 bersama keluarnya yang tular tinggal di bawah jambatan Loke Yew sejak Nov 2019 beberapa hari lalu.

Suria sekeluarga kini ditempatkan sementara di dewan serbaguna Flat Sri Johor sebelum akan dipindahkan kemungkinan dalam minggu ini juga.

Umno dilaporkan mengadakan mesyuarat biro politik parti itu pada malam Ahad (20 Jun).

Ahmad Zahid Hamidi

Keesokan harinya, pada semalam, dalam satu kenyataan, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk memulakan langkah membuka parlimen seperti yang diisyaratkan raja-raja Melayu.

Jika tidak, Umno akan mengadakan mesyuarat khas majlis tertinggi bagi mencari “tindakan sewajarnya”.

Ini kerana, kegagalan PN melaksanakan titah raja-raja Melayu, kata Ahmad Zahid, adalah perbuatan menderhaka dan tidak menghormati institusi istana.

Ini susulan Istana Negara pada 16 Jun mengeluarkan kenyataan yang memetik pandangan Agong bahawa parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Empat belas hari daripada 20 Jun jatuh pada 4 Julai.

Pun begitu, menurut laporan Agenda Daily, bekas MT Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan tempoh 14 hari yang diberikan Ahmad Zahid itu “tidak masuk akal”, memandangkan notis kepada ahli-ahli parlimen pun memerlukan 28 hari sebelum persidangan dibuat.

Keputusan untuk ahli parlimen Umno meninggalkan kerajaan sudah diputuskan dalam perhimpunan agung parti itu akhir Mac lalu.

Dalam perhimpunan tahunan Umno itu perwakilan bersetuju memberikan mandat kepada presiden dan ahli majlis tertinggi untuk menentukan sendiri bilakah tarikh mereka akan meninggalkan kerajaan.

Langkah itu sekali gus akan menjatuhkan PN yang kini terpaksa bergantung kepada sokongan ahli parlimen Umno untuk mendapat majoriti di parlimen.

Meskipun tiada tarikh khusus diberikan, Umno memberikan bayangan langkah berkenaan akan dibuat pada Ogos.

Tiada ulasan: