Menteri Kanan Azmin Ali dan keempat-empat anaknya membuat penyelesaian dengan sebuah agensi pelancongan berhubung saman berkaitan tiket penerbangan dan penginapan hotel yang didakwa belum dibayar.
Peguam Adam Yap, yang mewakili firma pelancongan YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd, mengesahkan penyelesaian itu direkodkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur petang tadi.
Katanya, plaintif menarik balik saman berkenaan tanpa perintah membayar kos dan tanpa kebebasan (liberty) untuk memfailkannya lagi.
"Defendan (Azmin) menarik balik tuntutan balas mereka dan tanpa kebebasan (liberty) untuk memfailkannya lagi. Defendan akan membayar RM1,000 kepada plaintif sebagai kos tuntutan balas.
"Pihak-pihak terbabit bersetuju agar syarat penyelesaian dirahsiakan," kata Adam ketika dihubungi hari ini.
Peguam itu mengesahkan bahawa agensi pelancongan itu juga bersetuju menarik balik tuntutan saman terhadap anak-anak Azmin tanpa perintah membayar kos dan tanpa kebebasan memfailkannya lagi.
Sebelum ini pada 24 Mei, portal berita perniagaan dalam talian The Edge Markets melaporkan penangguhan saman itu berikutan 'perkembangan positif'.
Pada 5 Nov 2019, YHA dilapor menyaman bekas timbalan presiden PKR itu bagi menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayar.
Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat Malaysiakini, YHA berkata Azmin berhutang bagi perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.
Menurut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.
Firma itu berkata ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Pada 14 Disember 2019, Azmin memfailkan tuntutan balas terhadap YHA, dengan mendakwa tuntutan saman berkenaan ada kaitan 'konspirasi' video seks melibatkan dirinya.
Pada 30 Disember 2019, YHA dilapor memfailkan permohonan untuk memasukkan empat anak Azmin sebagai defendan dalam saman tersebut.
Pada 23 Januari tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan YHA untuk memasukkan empat anak Azmin sebagai defendan tambahan dalam saman tersebut, iaitu Farah Shazliyana, Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin.
Pada bulan September tahun lalu, YHA menarik balik samannya terhadap tiga anak Azmin. Namun, pada bulan yang sama, YHA memfailkan semula saman terhadap Farah Afifah, Farah Amira dan Mohamed Ameer.
Ini menyebabkan dua saman difailkan iaitu terhadap Azmin dan Farah Syazliyana, dan satu lagi melibatkan Farah Afifah, Farah Amira dan Mohamed Ameer.
Penyelesaian di mahkamah hari ini bermakna kes saman berkenaan telah berakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan