Pakar epidemiologi berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya boleh diadakan sekiranya imuniti kelompok dicapai dan penularan Covid-19 berjaya dikawal manakala kes dapat dikurangkan menerusi program vaksinasi.
Profesor Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata imuniti kelompok bukan hanya bermaksud liputan vaksinasi mencapai 80 peratus penduduk negara ini sahaja.
Sebaliknya kata beliau ia bermaksud imuniti kelompok dicapai apabila penularan jangkitan berkurangan dengan ketara dalam kalangan masyarakat disebabkan oleh vaksinasi.
Bagaimanapun katanya, bukti perlu dikemukakan berdasarkan kajian teliti dan data lengkap susulan kepelbagaian jenis varian Covid-19 yang wujud di Malaysia ketika ini.
Epidemiologi adalah kajian berhubung faktor yang mempengaruhi kesihatan dan ketidaksihatan suatu populasi dan berperanan sebagai asas dan campur tangan logik yang dibuat untuk kepentingan kesihatan awam dan perubatan pencegahan.
Memetik laporan BH, Awang Bulgiba berkata Malaysia mungkin boleh mengawal pandemik Covid-19 jika berjaya dalam program vaksinasi dan pada masa sama berhati-hati membuka kembali ekonomi serta sempadan negara.
“Bagi saya jika tidak ada keperluan mendesak, kita tidak patut terburu-buru mengadakan PRU kerana pandemik ini tidak akan betul-betul reda selagi negara lain belum dapat mengawal Covid-19 di tempat mereka,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud, turut berpendapat PRU15 hanya boleh diadakan jika negara mencapai imuniti kelompok.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira aspek kawalan wabak, terutama dengan adanya pelbagai varian Covid-19 yang cepat merebak.
“Pengurusan krisis Covid-19 memerlukan asas politik dan pengurusan yang stabil. Ada kemungkinan jika PRU diadakan, dasar akan bertukar dan menteri yang kini bertanggungjawab dalam portfolio berkaitan pengurusan Covid-19 turut berubah.
“Ini merugikan kerana pasukan sedia ada sudah membuat yang terbaik. Jika pasukan baharu mengambil alih dan perlu belajar mengenai perincian pengurusan pandemik, ia akan membazir masa dan melambatkan usaha mengeluarkan negara daripada belenggu pandemik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan