MALAYSIAKINI
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa 25 anggota parlimen Umno telah hilang kepercayaan terhadapnya.
Zahid menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sebagai cerita 'kartun'
“Hilang kepercayaan kepada MP lain ? Cerita kartun,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Semalam, Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa majoriti 42 anggota parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Zahid selaku pengerusi gabungan itu.
Dia berkata, 25 ahli parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai 'mandat' kepada Menteri Luar Hishammuddin Hussein sekiranya ahli parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Nazri mendakwa Zahid telah memberikan maklumat yang mengelirukan kepada Agong bahawa Ahli Parlimen BN menyokong (Presiden PKR) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Katanya, dia hilang kepercayaan kepada Zahid setelah mengetahui bahawa Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan untuk menerima menghadap ketua-ketua parti politik.
Pada Oktober tahun lalu, Zahid didakwa mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk menjadi perdana mengteri.
Pejabat Zahid mendakwa surat itu palsu, namun bekas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengatakan sebaliknya.
Majlis Tertinggi Umno dan Perhimpunan Agung parti itu menegaskan pendirian untuk tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Namun, timbul spekulasi bahawa Anwar telah menyerahkan kepada Agong senarai 115 anggota parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menjadi perdana menteri semasa menghadap baginda pada 9 Jun lalu.
Sementara itu, pejabat Hishammuddin menafikan bahawa Ahli Parlimen Sembrong itu menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang mendakwa dia mendapat sokongan BN untuk menjadi perdana menteri yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan