“NAK balik, tutup la pintu,” kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau ditanya berhubung gambar dan kapsyen di media sosial miliknya semalam yang menjadi perhatian ramai mengenai isu ‘pintu depan sudah ditutup tapi..’.
Jawapan ringkas Ismail Sabri itu diberikan pada sidang media secara maya Pelancaran Pembinaan Hospital Modular COVID-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini.
Dalam sidang media itu, Ismail Sabri juga hanya berkata “MITI boleh jawab,” apabila diajukan soalan berhubung kelulusan operasi dalam sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula kelmarin.
Menurut Ismail Sabri, perkara membabitkan kelulusan operasi sudah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk diputuskan.
“Perkara ini sedang diuruskan oleh MITI, wajar tanya kepada MITI.
“Saya susah nak jawab sebab kita sudah menyerahkannya kepada MITI, jadi MITI boleh jawab,” katanya.
Ismail Sabri ulas keluhan orang ramai berhubung kekeliruan kebenaran operasi perkhidmatan perlu sepanjang sekatan penuh pergerakan PKP seperti dibangkitkan wartawan.
Malah, pergerakan wakil media juga timbul isu selepas ada petugas mendakwa dikompaun walaupun sudah menunjukkan pas dikeluarkan Jabatan Penerangan selain sukar melepasi sekatan jalan raya.
Menurut Ismail Sabri, perkara itu juga perlu diajukan kepada MITI.
Seperti yang disenaraikan, katanya, media adalah antara 17 perkhidmatan perlu bagi sektor komunikasi yang dibenarkan beroperasi.
“Media sebenarnya antara 17 perkara yang saya sudah umumkan di bawah komunikasi dan media.
“Ia disebutkan secara jelas tanpa memperincikan apa jenis media kerana saya takut orang keliru, sebab bila saya sebut penyiaran, takut orang ingat itu untuk televisyen dan sebagainya.
“Jadi saya tulis dalam pengumuman itu sebagai media, bermakna semua jenis media termasuk dalam keperluan asas yang kita benarkan.
“Justeru, jika ada perkara berbangkit berhubung operasi media ketika tempoh PKP penuh, itu kena tanya MITI,” jelasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan