AGENDA DAILY
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Perak, Fairuz Hafiizh Othman menempelak Pakatan Harapan (PH) dan ‘Kluster Kecewa’ yang mahu melihat kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mentadbir negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.
“Saya tahu kemarahan kerana hilang kuasa itu sangat menyakitkan. Ada yang berangan dapat pencen Menteri. Ada yang berangan dapat jadi Perdana Menteri dan ada pula yang bercita-cita untuk kembali jadi Perdana Menteri.
“Mereka bukan berbicara untuk rakyat. Mereka berbicara untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka. Teringat kemarahan Mat Sabu dalam ucapan sulung kehilangan jawatan Menteri… ‘Haram jadah’,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook beliau.
Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta beberapa pemimpin PH lain yang pernah menjadi menteri selama 22 bulan.
Sehubungan itu, Fairuz Hafiizh mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan kumpulan yang kecewa itu, sebaliknya bersatu menyokong usaha kerajaan untuk menangani masalah Covid-19 selain menjaga kebajikan rakyat.
Dengan membawa naratif ‘Kerajaan Gagal’, beliau berkata, PH dan Ahli Parlimen yang bergabung dalam kerajaan PN tetapi berhati pembangkang, mendesak kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri untuk sambutan Aidilfitri.
“Biarkan pembangkang menjerit, Gagal… Gagal… Kerana mereka gagal menghasut rakyat. Mereka yang gagal, bukan Kerajaan yang gagal.
“Benar, memang benar, pembangkang mahu Kerajaan gagal. Kalau Kerajaan menang dalam perangi Covid-19, mereka akan gagal merampas Kerajaan. Itu yang mereka takut. Saya berpendirian bahawa kegagalan sebahagian rakyat Malaysia mematuhi SOP yang dilaksanakan Kerajaan adalah kerana ‘hasutan pembangkang’ yang gagal.
“Merekalah pembela kepada pesalah SOP yang didenda. Merekalah pendesak agar PKP dibatalkan di saat Kerajaan hampir berjaya mengekang pandemik hingga angka satu. Atas alasan rakyat perlu cari makan. Apabila SOP dilonggarkan dan kes mula meningkat, merekalah yang melalak minta dibuat ‘total lockdown’,” katanya.
Fairuz Hafiizh berkata kerajaan PN sekarang ini sedang menguruskan pandemik Covid-19 semampu yang boleh demi kebaikan rakyat.
“Belum ada Kerajaan di Malaysia yang ada pengalaman urus pandemik. Malah PH dari awal tersebar virus ini sudah membuat keputusan yang ternyata salah sehingga ada Menteri PH yang bagi tahu demam campak lebih bahaya dari Covid-19.
“Sekarang masanya rakyat beri sokongan usaha Kerajaan. Kalau diikut kelemahan, ia pasti ada. Namun kini masanya kita menampung kelemahan itu dengan menyokong. Total lockdown sudah diisytiharkan. Bantuan untuk rakyat sedang diaturkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan