HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Jun 2021

Seorang MP UMNO didakwa tandatangan sokong Anwar depan Zahid


Seorang Ahli Parlimen UMNO Pahang didakwa menandatangani sokongan terhadap Anwar Ibrahim di hadapan Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada parti itu membuat pengakuan kepadanya telah menandatangani akuan berkanun (SD) memberi sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen Astro hari ini, Shahidan bagaimanapun tidak menyatakan siapa Ahli Parlimen yang dimaksudkan itu.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas siapa individu terbabit, ia bagaimanapun dipercayai membabitkan seorang Ahli Parlimen dari Pahang. Manakala orang kenamaan itu pula dikatakan mempunyai hubungan dengan istana.

Malah, nama Ahli Parlimen berkenaan menjadi sebutan dalam beberapa kumpulan WhatsApp dan Twitter sebagai individu yang dipujuk menandatangani SD menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini tular mesej mengatakan Anwar dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan kenamaan terbabit untuk memujuk Ahli Parlimen Pahang itu.

Mesej yang turut diterima Agenda Daily juga menyatakan sekiranya kejadian itu tidak benar, Timbalan Presiden UMNO Datuk Mohamad Hasan wajar bersumpah kerana beberapa Ahli Parlimen telah menjadi saksi wakil rakyat Pahang itu mengaku di hadapan beliau.

Malah mesej itu turut meminta beberapa Ahli Parlimen lain juga bersumpah bahawa tidak ada pengakuan sedemikian di hadapan Mohamad.

Mengulas lanjut Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata wakil rakyat berkenaan menandatangani sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Zahid serta seorang individu kenamaan.

“Pengakuan seorang Ahli Parlimen yang mengatakan bahawa dia tandatangan untuk menyokong Anwar, di depan presiden dan di depan Anwar dan depan seorang kenamaan, jadi saya rasa ini satu kesalahan yang perlu diambil tindakan.

“Tapi benda ini (seorang Ahli Parlimen tandatangan sokong Anwar) berlaku 7 Jun lepas,” katanya sambil menegaskan pendedahan itu antara tiga bukti jelas menunjukkan Zahid melanggar ketetapan parti.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang senada dengan Shahidan turut menggesa Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung serta-merta jawatan Zahid sebagai presiden susulan tindak-tanduknya kebelakangan ini yang didakwa melanggar ketetapan parti.

Katanya, Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu menyiasat Zahid dengan segera dan mengambil tindakan tatatertib susulan terdapat tiga bukti jelas menunjukkan beliau melanggar ketetapan parti.

“Bukti pertama adalah beliau bertindak mengutuskan surat menyatakan sokongan kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu, tanpa pengetahuan majoriti ahli Parlimen berkenaan.

“Bukti kedua pula adalah kesahihan rakaman audio perbualan beliau dengan Anwar berkait Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), sedangkan keputusan PAU sudah menetapkan pendirian ‘No Anwar No DAP’.

“Bukti terakhir pula adalah tindakan terkini beliau yang memberi kata dua kepada kerajaan PN bagi mendesak sidang Parlimen dibuka dalam tempoh 14 hari, tanpa merujuk kepada MKT dan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terlebih dahulu,” katanya.

Nazri berkata tindakan segera perlu diambil kerana UMNO bukan hak eksklusif Zahid tetapi milik lebih 3.6 juta ahli.

Tiada ulasan: