HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Tempoh 14 hari, Ismail Sabri sanggah keputusan Zahid tak bincang dengan MT


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tempoh 14 hari yang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan keputusan dasar parti.

Tempoh 14 hari diberi diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu pembukaan Parlimen bukan keputusan dasar parti tersebut memandangkan ia tidak dibawa dibincang dalam Majlis Tertinggi (MT), kata Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar disegerakan sidang Parlimen dibuka bagaimanapun tindakan Biro Politik memberi tempoh 14 hari yang diumumkan dalam kenyataan Zahid semalam bukan keputusan dasar parti tersebut, ia kerana hanya MT boleh memutuskan sebarang cadangan berhubung pendirian parti.

“Tak ada, kita tak bincang, UMNO menjunjung titah YDPA, perlu disegerakan saya ingat tidak ada percanggahan pandangan pembukaan Parlimen, itu tidak ada percanggahan sesiapa pun dalam UMNO

“Kita memang bersetuju Parlimen dibuka, tapi secepat mungkin yang dititahkan oleh YDPA itu pelbagai interpretasi apa maksud cepat… jadi UMNO berpandangan cepat, jadi 14 hari, itu pandangan daripada Biro Politik UMNO… Biro Politik, bukan Majlis Tertinggi… dari segi dasar, yang boleh memutuskan dasar adalah Majlis Tertinggi,” katanya dalam satu sidang media pagi ini.

Terdahulu, Ismail Sabri melawat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Prebet Suria Mohammad Hassan bersama keluarga yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan ekoran kesempitan hidup yang dihadapi.

Jelasnya lagi, Biro Politik hanya boleh mencadangkan dan keputusan muktamad berhubung pendirian atau dasar rasmi parti perlu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi.

“Daripada segi Biro Politik hanya mencadangkan, jadi ia hanya cadangan daripada UMNO tapi Majlis Tertinggi lah yang akan memutuskan,” katanya.

Berhubung tindakan yang akan diambil UMNO jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membuka sidang Parlimen dengan segera, Ismail Sabri berkata perkara itu juga tidak dibincangkan dalam MT.

“Jadi cadangan UMNO supaya diadakan juga, tapi soal kalau tidak mengadakan sidang (Parlimen) apa akan jadi, apa tindakan, tidak dibincangkan,” ujarnya.

Semalam, seorang pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz membidas Zahid supaya tidak memandai-mandai membuat keputusan bersendirian tanpa berbincang terlebih dahulu berhubung tempoh 14 hari yang diberikan kepada Kerajaan PN untuk membuka sidang Parlimen.

Nazri berkata Zahid sekali lagi membuat keputusan tanpa merujuk kepada Ahli Parlimen UMNO apabila membuat desakan tempoh 14 hari terhadap kerajaan yang disifatkannya adalah sama sekali tidak wajar.

“Saya tengok Zahid tak panggil mesyuarat Majlis Tertinggi, dia sendiri sahaja tak bincang dengan kita.

“Ini tak betul 14 hari tak boleh berlaku memang satu desakan yang tak boleh berlaku ingat panggil lah Ahli-Ahli Parlimen jangan pandai-pandai sendiri sahaja,” katanya kepada Agenda Daily semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keputusan yang diperkenan oleh Baginda selepas memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.

Tiada ulasan: