Pemimpin senior dalam parti, Datuk Seri Nazri Aziz meneruskan kritikan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan menyifatkan Presiden UMNO itu sebenarnya adalah ‘balaci’ apabila masih menerima peruntukan walhal beliau adalah perancang utama dalam menjatuhkan kerajaan.
Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas itu berkata antara terawal menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Ahli Parlimen Machang) ia selepas didorong oleh Zahid yang merancang gerakan tersebut.
“Dua Ahli Parlimen, saya dan Jazlan yang menarik sokongan daripada PN, apa lagi bukti? Balaci, balaci PN? Saya menarik sokongan tahu dan saya nak beritahu saya kena tipu dengan Zahid.
“Sebab kita rancang pada ketika itu, kita rancang pada ketika itu bahawa kita akan menarik balik sokongan satu satu, selang dua hari ke, selang tiga hari ke, jatuh lah kerajaan,” katanya kepada Agenda Daily.
Lebih mengecewakan Nazri, sepatutnya Zahid selaku ketua perancang menjadi orang pertama menarik sokongan terhadap kerajaan tetapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka berdua ditipu pula.
“Kalau hari itu kita setuju, semua setuju, mungkin 15 orang MP menarik balik sokongan, jatuh lah.
“Jazlan tarik sokongan, saya tarik sokongan, yang merancang dan ketua kepada rancangan ini tidak tarik, dia tipu saya lah,” katanya lagi.
Menurut Nazri, balaci sebenar adalah Zahid memandangkan perancang utama gerakan menjatuhkan kerajaan tersebut masih mengambil peruntukan pembangunan bagi kawasan Parlimennya tetapi Nazri pula tidak diberikan peruntukan yang sama ekoran keputusannya tidak menyokong kerajaan PN.
“Jadi macam mana nak bagi tahu saya ini balaci sebab saya dah tarik sokongan, cuma saya cukup marah sekarang ini, yang sebenar-benarnya balaci ini saya rasa Zahid, sebab dia ambil peruntukan yang kerajaan bagi kepada setiap MP, dia ambil, dia lah balaci maknanya.
“Saya bukan tak ambil (peruntukan), saya tidak diberi, saya dan Jazlan tak dapat peruntukan, RM3.8 juta, itu jumlah yang besar untuk kita punya kawasan,” katanya lagi.
Nazri juga membidas sikap Zahid tersebut tidak mencerminkan satu contoh pemimpin yang baik kerana tidak bertanggungjawab terhadap sesuatu tindakan yang diambilnya.
“Tapi dia ambil (peruntukan), bermakna dia tidak bertanggungjawab, dia tipu… Orang yang ikhlas berjuang untuk parti dan bersetuju mengambil satu tindakan, akhirnya dia sendiri tak tarik sokongan.
“Tak cukup dengan itu, dia pergi minta dan dapat duit RM3.8 juta, saya tidak dapat, jadi macam mana saya nak tanya adakah ini satu contoh pemimpin yang baik?” katanya.
Sikap tidak berprinsip Zahid yang tidak jujur dalam tindakannya juga menyebabkan Nazri kecewa dan marah, lebih malang lagi sanggup menipu rakan separti demi cita-cita peribadi.
“Dia dah tahu saya sudah menarik sokongan, tapi dia boleh terima duit untuk kawasan dia… Tak ada dia tanya saya pun kata Nazri orang bagi RM3.8 juta saya tolak balik… Tidak ada dia ambil (peruntukan), ini pemimpin apa ini, dia buat tak tahu saja.
“Saya duduk tunggu dua tiga hari ada orang ikut tarik sokongan, empat hari pun tidak ada, saya kena tipu sampai kena Covid-19… Patut dia yang pertama sekali (tarik sokongan), dia tak, dia suruh saya buat dahulu, saya ni macam luncai lah, luncai tenggelam dengan labu-labunya, biarkan,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan