HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 Ogos 2021

15 MP UMNO ikut Zahid adalah pengkhianat, kena bertaubat: Shahidan


Datuk Seri Shahidan Kassim tidak faham kenapa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh melanggar peraturan parti dengan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim membidas 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO yang mengikut kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah pengkhianat kerana tindakan mereka mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

MP Arau itu menyifatkan tindakan 15 MP itu sebagai mengkhianati orang Melayu dan Islam memandangkan penubuhan kerajaan PN terdiri daripada gabungan parti-parti bumiputera terbesar dalam sejarah negara tetapi ia cuba dijatuhkan dengan cara tidak demokratik.

“Jadi orang yang menarik sokongan daripada kerajaan sama seperti membubarkan kerajaan, jadi yang mengkhianati kerajaan Melayu Islam ini adalah 15 MP yang melanggar keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) iaitu mesti sokong kerajaan sedia ada sehingga pilihan raya.

“Perbuatan tersebut pengkhianatan kepada UMNO dan orang Melayu, kerajaan ini goyah berpunca daripada 15 MP ini,” katanya kepada Agenda Daily.

Jelasnya, kerajaan PN ditubuhkan hasil gabungan parti yang mewakili masyarakat bumiputera di Malaysia, ia terdiri dari parti UMNO, Bersatu, PAS, GPS, STAR dan beberapa MP Bebas yang bersama dalam kerajaan PN.

“Jadi ini kerajaan Bumiputera Islam, sebuah kerajaan yang wakilnya menggambarkan demografi penduduk Malaysia, iaitu 70 peratus Bumiputera.

“Ini sebuah kerajaan terbaik pernah ditubuhkan, BN (Barisan Nasional) pun tidak sama dengan kerajaan sekarang,” katanya lagi.

Beliau tidak bersetuju dan menentang keras tindakan 15 MP UMNO yang sanggup mengikut arahan Zahid sehingga mengancam kestabilan politik negara ketika ini.

“Tetapi UMNO yang merupakan tunjang kepada parti ini tiba-tiba 15 MP tarik sokongan atas alasan mengikut arahan Presiden dan MT (Majlis Tertinggi).

“Kami 27 MP masih memegang teguh kepada keputusan PAU iaitu No Anwar dan NO DAP… kami sokong kerajaan PN sampai Parlimen dibubar,” tegasnya.

Shahidan juga menggesa supaya 15 MP yang ikut Zahid supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan selamatkan kerajaan Melayu Islam ini dan jangan sesekali menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Mereka sepatutnya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan selamatkan kerajaan Melayu Islam ini kerana kalau jatuh kerajaan ini yang naik adalah Anwar dan DAP,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mendesak supaya Zahid menjelaskan hala tuju parti sekiranya kerajaan PN jatuh dan siapa yang akan mereka bekerjasama.

“Presiden pernah melakukan pembohongan kepada parti, kami MP pun kena bohong.

“Presiden tak pernah tunjuk hala tuju nak tubuh kerajaan baharu selepas ini, tidak pernah tunjuk. Beliau kena beritahu kami dengan siapa UMNO akan bekerjasama,” katanya.

15 MP UMNO termasuk diketuai Zahid sedang merancang bersama blok pembangkang diketuai Anwar, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ketika ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

Tiada ulasan: