HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Ogos 2021

Jawatan PM bukan milik UMNO selepas tarik sokongan, pasti milik Anwar


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak muridnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Politik negara kembali bergolak apabila UMNO sekali lagi mengulangi pendirian menarik sokongan mereka, cuma pendirian kali ini lebih tegas dengan menolak kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang membezakan keputusan hari ini dengan 8 Julai lalu, UMNO menolak untuk tidak lagi bersama dalam kerajaan PN, ia berdasarkan kenyataan media yang dibacakan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang tadi.

Malah, Zahid mendedahkan surat akuan juga sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, menurut sumber ia sudah dihantar pada Jumaat lepas.

Terdapat versi berbeza-beza surat akuan yang didakwa dikumpul oleh Zahid dengan satu lagi kumpulan dalam UMNO yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hasil maklumat awal yang diperoleh Agenda Daily, terdapat 11 Surat Akuan dipegang Zahid yang didakwanya sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, namun jumlah tersebut tidak dinyatakan dalam kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi petang tadi.

Bagaimanapun, langkah kumpulan Zahid tersebut akan menjerat UMNO dan akan mengakibatkan lebih banyak perpecahan dalaman parti kerana satu kumpulan lagi yang bertentangan dengan agenda dibawa Zahid juga mempunyai jauh lebih banyak sokongan Ahli-Ahli Parlimen (MP) UMNO.

Sekurang-kurangnya 36 MP dikatakan tidak memihak kepada Zahid, namun usaha untuk memancing supaya menyokong agendanya sedang giat diusahakan.

Namun, usaha Zahid tersebut belum memberi jaminan jawatan Perdana Menteri akan diberikan kepada UMNO, ia memandangkan jumlah sokongan MP yang dimilikinya tidak mencukupi jika dibandingkan dengan parti-parti politik yang lain.

Untuk rekod, DAP mendominasi 42 kerusi Parlimen, UMNO 39 (Tolak seorang MP Grik yang sudah meninggal dunia), PKR (38), Bersatu (31), PAS (18), PBB (13), Amanah (11) dan Warisan (8).

Gabungan DAP bersama PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) menjadikan jumlah 91 kerusi, sekali gus menjadikan DAP akan menguasai Parlimen.

Dalam konteks ini, satu-satunya harapan UMNO diberikan jawatan PM adalah dengan memujuk sokongan daripada PH, mengulangi episod sama yang berlaku semasa krisis Menteri Besar Perak sebelum ini.

Namun, ia mustahil berlaku apabila PH sudah memberi kata dua tidak akan berkompromi dengan jawatan PM yang perlu diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengambil kira pengalaman sebelum ini, Zahid pasti akan sedia berlembut dengan Anwar untuk memberinya laluan naik ke singgahsana dan menjadi PM, jawatan yang diidamkannya sejak 1998 lagi.

UMNO perlu mempersiapkan diri untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu bersama PKR, DAP dan Amanah selepas keputusan menarik sokongan daripada kerajaan PN. Semoga maju jaya…

Tiada ulasan: