HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Ogos 2021

UMNO kembali pujuk MP dalam PN untuk angkat Zahid jadi PM

Kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih banyak jumlahnya daripada kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO dilihat kembali memujuk Ahli Parlimen (MP) yang masih kekal menyokong dan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kembali kepada parti itu yang kemungkinan bakal mencalonkan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri (PM).

Tindakan melobi MP UMNO di dalam PN itu dibuat setelah parti itu gagal mencari jalan keluar bagi memilih calon PM untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain tidak memiliki majoriti sokongan MP di Dewan Rakyat, kumpulan UMNO diketuai Zahid seramai 15 orang tidak mendapat dukungan 23 lagi MP UMNO yang bersama Naib Presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin kini mengaku bahawa keputusan parti itu menarik sokongan dan keluar daripada PN menyebabkan parti itu juga berdepan pelbagai cabaran.

“Saya mengakui keputusan UMNO menarik sokongan dan keluar dari Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja memberi kesan langsung kepada PN sebagai sebuah Kerajaan dan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri, tetapi UMNO sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan keputusan ini,” katanya.

Menjadikan alasan untuk menjaga kekuatan Melayu beliau menjanjikan ruang dan tempat buat MP UMNO di dalam PN masih ada di dalam parti itu.

Sambil menyatakan gigi dan lidah pun kadang-kala tergigit, Khaled menyatakan:

“Perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua.”

Kemelut politik negara kucar-kacir gara-gara tindakan 15 MP UMNO diketuai kem Zahid bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Muhyiddin.

Namun kem Ismail Sabri termasuk pemimpin-pemimpin UMNO yang lebih berwibawa, kekal di dalam gabungan PN yang turut dianggotai PAS.

Tiada ulasan: