HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 Ogos 2021

Muhyiddin sedia pastikan sidang DUN Johor bincang isu kepentingan rakyat

BH ONLINE


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia mengambil tanggungjawab memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini memberi tumpuan kepada isu berkaitan langkah menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negeri itu, bukan hal lain berhubung politik atau kepentingan sendiri.

Menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya hari ini, Perdana Menteri memaklumkan, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan dengan kapasiti yang ada padanya, beliau akan memastikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberi keutamaan serta diambil tindakan sewajarnya.

"Saya akan pastikan titah nasihat Tuanku diberi keutamaan dan diambil tindakan sewajarnya, khususnya berkaitan usaha menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negeri Johor dan juga negara.

"Segala titah pedoman dan titah nasihat baginda akan dijadikan panduan kepada saya dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat," katanya.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin, beliau dan ADUN lain bertanggungjawab untuk membantu rakyat sedaya upaya dengan penuh keikhlasan agar dapat menang bersama-sama dalam perang melawan pandemik COVID-19 ini.

Muhyiddin sebelum itu diterima menghadap oleh Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bagi mempersembah perkembangan semasa isu dalam negara sebelum baginda berkenan untuk santapan tengah hari bersama.

Perdana Menteri turut menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan Sultan Ibrahim itu.

Terdahulu, sewaktu merasmikan Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Yang Ke-14 di Iskandar Puteri, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes COVID-19 berikutan penularan varian baharu yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit serta merebak kepada orang lain.

Sultan Johor turut menitahkan supaya Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat segera menangguhkan persidangan sekiranya penilaian kesihatan mendapati wujud risiko atau ancaman daripada pandemik itu.

Persidangan DUN Johor yang bermula hari ini, ditangguhkan sehingga 22 Ogos untuk penilaian risiko COVID-19. - BERNAMA

Tiada ulasan: