HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 Ogos 2021

Saya jadi sasaran propaganda

Berhati-hati menilai berita membabitkan saya - Ahmad Zahid. FOTO NSTP
Berhati-hati menilai berita membabitkan saya - Ahmad Zahid. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa dirinya menjadi sasaran propaganda susulan tindakan parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sasaran propaganda itu didakwanya dilakukan melalui penulisan berita menggunakan 'sumber UMNO' dengan menggunakan pelbagai platform.

Beliau turut mempertikaikan tujuan penulisan berita sedemikian rupa sama ada ia mempunyai kepentingan tertentu, biasa atau mahu mengelirukan masyarakat.

"Kebelakangan ini banyak berita membabitkan Presiden UMNO ditulis berdasarkan dakwaan 'sumber UMNO'.

"Kita wajar berhati-hati dalam menilai berita yang menggunakan maklumat diberi oleh individu 'anonymous'.

"Gara-gara UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan, maka Presiden UMNO jadi sasaran propaganda dengan menggunakan apa platform sekalipun," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 3 Ogos mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun tiga hari selepas itu, Naib Presiden UMNo yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang medianya menyatakan seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong PN bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO sebagai parti milik rakyat perlu terus memperjuangkan kewajipannya tanpa ragu-ragu.

Beliau berkata, keutamaan UMNO adalah demi masyarakat Malaysia dan tanah airnya kerana rakyat perlu dilindungi.

"Saya tahu ahli UMNO kecewa melihat sikap beberapa pemimpin parti mempertahankan kerajaan kini, namun itu tidak sepatutnya menjadi kekecewaan yang nyata. Mungkin ia asbab untuk masa depan UMNO yang gemilang.

"Bagi mengertikan UMNO mengenai intan dan kaca, yang mana ikhlas kepada rakyat dan parti atau yang mana sebaliknya.

"Tidak perlu dicari dan digali kerana ia terdedah sendiri. Maka kita semua bersyukur atas kebenaran yang terzahir," katanya.

Tiada ulasan: