HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 September 2021

Walaupun 8 kali cabutan khas judi Pemuda PAS tetap tak kompromi


Pemuda PAS sekali lagi mengulangi pendirian dan bantahan terhadap pelaksanaan cabutan khas nombor ramalan walaupun hanya dibuat lapan kali setahun.

Inikan pula sebanyak 22 kali setahun mulai 2021, malah Pemuda PAS tidak berkompromi dalam isu judi, kata Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, bantahan sama pernah disuarakan Dewan Pemuda PAS sebelum ini pada 2 Januari 2021, dan pendirian itu kekal sehingga sekarang.

“Sejak dahulu hingga sekarang, tidak ada sebarang kompromi dalam isu judi.

“Pemuda PAS menegaskan cabutan khas judi ini bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam, selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

“Masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar kerana membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat.

Beliau menyifatkan teguran Mahfuz itu adalah tepat dan diperlukan, apatah lagi dalam soal nahi mungkar, semua umat Islam bertanggungjawab bagi menyuarakan perkara tersebut tanpa mengira parti politik.

Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS memohon mengadakan satu pertemuan dengan Menteri Kewangan  untuk berbincang bagi mencari jalan terbaik menambah pendapatan negara dalam usaha mengekang wabak Covid-19, selain membentangkan solusi bagi mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di dalam negara.

“Pemuda PAS menuntut pihak Kerajaan supaya lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial.

“Pada masa yang sama, pihak kami berbesar hati mengajak pimpinan-pimpinan negara, serta parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional untuk bersama-sama membanteras terus segala aktiviti perjudian di Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: