HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 September 2021

‘Lompat parti, hilang semua’, usul dibawa ke mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam

Usul yang akan dibawa ke mesyuarat itu menyatakan, hanya wakil rakyat yang 
dipecat partinya sahaja boleh mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat.

PETALING JAYA: Wakil rakyat yang meninggalkan parti atau pakatan diwakilinya selepas menang pilihan raya, secara automatik hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, antara usul akan dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam, Sabtu ini.

Bahkan tidak terhad kepada perkara itu sahaja, usul berkenaan turut menekankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya kecil segera bagi membolehkan rakyat memilih wakil rakyat baharu.

Bagaimanapun, usul itu yang dikemukakan Charles Hector, memberi pengecualian jika Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipecat partinya dan memilih menjadi wakil rakyat bebas.

Namun, wakil rakyat berkenaan perlu digugurkan selepas menyertai parti lain, yang mana bertanding melawannya pada pilihan raya.

“SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil segera bagi membenarkan rakyat di kawasan mereka memilih wakil rakyat baharu. Ini perlu dilaksanakan demi menjamin rakyat menjadi pemenang utama dalam mempertahankan hak mereka untuk memilih.

Adalah tidak masuk akal wakil rakyat dipilih hilang sokongan daripada rakyat di kawasannya, namun berterusan mewakili mereka seolah-olah wakil rakyat itu masih membawa mandat rakyat kawasannya.

“Mereka juga tidak sepatutnya dilarang bertanding semula dalam pilihan raya kecil di kawasan sama kerana mandat sudah kembali semula kepada pengundi,” katanya.

Usul yang dilihat FMT itu, turut menyatakan calon yang bertanding mewakili partinya, termasuk manifesto pilihan raya yang dibuat menjadi faktor utama bagi pengundi untuk mereka memilih wakil rakyat, justeru memerlukan pindaan terhadap Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, untuk dikuatkuasakan.

Usul berkenaan juga mendesak Majlis Peguam melakukan apa sahaja yang perlu bagi memastikan kerajaan meminda peruntukan yang melarang individu daripada terbabit dalam pilihan raya selama lima tahun selepas menamatkan hukuman penjara atau didenda kerana sabit kesalahan.

“Ini bukan sahaja tidak adil, malah menggalakkan diskriminasi terhadap bekas banduan selepas mereka menjalani hukuman,” katanya.

Usul itu juga berkehendak Majlis Peguam mencadangkan perubahan dalam Akta Pilihan Raya bagi memperkasa SPR untuk menyiasat dan mendakwa membabitkan perkara jenayah yang berlaku berhubung pilihan raya

Tiada ulasan: