HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 September 2021

Azam Baki patut direhatkan sementara waktu – PH

RM3.1 juta
AZAM BAKI

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki sewajarnya direhatkan buat sementara waktu daripada tanggungjawab, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Menurut Majlis Presiden PH, Azam peru direhatkan sehingga siasatan penuh berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan tiga anggota SPRM selesai.

Pada masa sama, Majlis Presiden PH turut berpandangan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja membabitkan kes tersebut.

Jelas Majlis Presiden PH, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu adalah untuk menyiasat isu-isu berhubung SPRM serta mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting berkenaan.

Katanya, Majlis Presiden PH mengikuti dan meneliti isu penahanan reman tiga pegawai kanan SPRM pada 14 sehingga 19 September lalu atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Majid.

“PH menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu ini.

“Walau bagaimanapun, memandangkan isu ini telah mewujudkan satu persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Semalam, Hamzah memaklumkan, polis telah pun membuka kertas inkuiri berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan sehingga membawa penangkapan tiga anggota SPRM.

Hamzah memberitahu, ia selepas PDRM menerima satu laporan berhubung kes kehilangan barang kes SPRM didakwa berjumlah AS$6 juta itu.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga Ahad lalu.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat Ahad lalu berhubung tiga pegawai kanan SPRM mencuri barang kes berupa wang tunai AS$6 juta sebagaimana yang ditularkan.

Katanya, polis mengambil maklum tentang isu viral tersebut dan mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

Abd Jalil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.

Tiada ulasan: