Bernama

Ongkili
berkata perkara itu dipersetujui memandangkan isi kandungan dan
perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal dan bertaraf rahsia rasmi
kerajaan serta masih dalam proses perundingan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Kerajaan masih tetap dengan pendirian tiada keperluan bagi mendedahkan
laporan akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada umum, kata Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr
Maximus Ongkili.
Beliau berkata perkara
itu dipersetujui memandangkan isi kandungan dan perbincangan yang
direkodkan bersifat teknikal dan bertaraf rahsia rasmi kerajaan serta
masih dalam proses perundingan.
"Oleh
itu, status dokumen ini kekal bertaraf rahsia rasmi dan perlu diberikan
perlindungan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
"Bagaimanapun,
kerajaan akan membuat pengumuman dan pernyataan awam berhubung status
pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan sebaik sahaja perkara-perkara
itu selesai dilaksanakan dari masa ke masa," katanya ketika menggulung
perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Parlimen
pada Khamis.
Mengenai penyerahan semula
kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah,
Ongkili berkata Perintah Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL)
yang dikuatkuasakan di pulau itu di bawah Akta Kawasan Larangan dan
Tempat Larangan 1959 (Akta 298) dibatalkan.
Katanya perkara itu dimuktamadkan menerusi Majlis Khas MA63 pada 13 April lepas.
"Susulan
keputusan itu, kedua-dua pulau tersebut adalah tertakluk di bawah kuasa
perundangan Negeri Sabah iaitu Enakmen Taman 1984 (Sabah No. 6 of 1984)
sebaik sahaja Perintah Pembatalan KLTL Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan
diwarta dan dikuatkuasakan kelak.
"Dari aspek keselamatan di kedua-dua pulau itu, ia kekal di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan," katanya.
Ahli
Parlimen Kota Marudu itu berkata keputusan yang diambil itu berbeza
berbanding keputusan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang hanya
membatalkan Perintah Fi di bawah Akta Fi 1951 (Akta 209) namun
mengekalkan Perintah KLTL bagi Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan