Bernama
Penggulungan oleh Khairy Jamaluddin dijangka menjadi tumpuan hari ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Penggulungan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi pihak
Kementerian Kesihatan dijangka menjadi tumpuan sesi penggulungan
perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan
Rakyat hari ini.
Kementerian yang
memainkan peranan penting dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini,
disenarai sebagai kementerian pertama yang akan menggulung perbahasan
pada hari kedua penggulungan oleh kementerian-kementerian.
Sejumlah
11 kementerian dijadual menggulung perbahasan membabitkan isu-isu yang
dibangkitkan sepanjang empat hari perbahasan titah diraja oleh 91 wakil
rakyat pembangkang dan penyokong kerajaan.
Semalam, sejumlah 16 kementerian terlibat dalam hari pertama sesi penggulungan.
Menurut
Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat selain Kementerian
Kesihatan, antara kementerian lain terlibat ialah Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi; Kementerian Luar Negeri; Kementerian Pelancongan,
Seni dan Budaya; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dan Kementerian
Belia dan Sukan.
Persidangan hari ini
dimulakan dengan Waktu Pertanyaan menteri diikuti sesi Pertanyaan Bagi
Jawab Lisan dan antara perkara yang akan dibangkitkan adalah isu capaian
internet di kawasan luar bandar, pembelajaran secara maya bagi pelajar
Institusi Pengajian Tinggi dan pengutamaan golongan B40 memasuki asrama.
Soalan
berkaitan capaian internet diajukan Datuk Azizah Mohd Dun
(Bersatu-Beaufort), yang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia
menyatakan langkah yang akan diambil untuk memastikan capaian internet
kelajuan tinggi di Sabah khususnya di kawasan luar bandar.
Datuk
Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) pula mengajukan soalan
kepada Menteri Pengajian Tinggi, mengenai langkah menambah baik kaedah
pembelajaran secara maya bagi pelajar institusi pengajian tinggi untuk
mengurangkan tekanan ekoran bebanan tugasan.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung selama 17 hari dari 13 Sept hingga 12 Okt.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan