HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 September 2021

Zaman PH nak bagi bantuan kepada rakyat jawapan diberi tiada duit: Marzuki


Semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak pernah berkira-kira membuat keputusan memberi bantuan kepada orang ramai dalam berdepan cabaran krisis kesihatan.

Mantan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri (KSUS), Datuk Marzuki Mohamad yang berkhidmat dengan Muhyiddin sebelum ini mendedahkan keadaan tersebut berbeza ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, apabila bantuan ingin diberikan rakyat jawapan yang akan diberi adalah tidak ada duit.

“Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit.

“Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ rupanya ada duit yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat,” katanya dipetik dalam satu wawancara ekslusif sebuah portal.-

Untuk rekod, sepanjang negara berdepan krisis kesihatan sebanyak RM530 bilion diluluskan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini dengan pelbagai pakej bantuan diperkenalkan kepada rakyat.

Hampir setiap golongan masyarakat menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan pandemik Covid-19 melanda negara.

“Ini saya fikir satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah negara,” katanya lagi.

Tidak dinafikan pakej bantuan memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan, bagaimanapun dalam berdepan keadaan yang luar biasa kerajaan tidak boleh berkira-kira dengan hanya melihat keadaan rakyat diluar yang terjejas akibat kesan pandemik.

Jelas Marzuki, kerajaan mempunyai kemampuan untuk membayar hutang tersebut apabila keadaan kembali menjadi normal dan pendapatan negara semakin pulih selepas aktiviti ekonomi dapat berjalan semula.

“Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan.

“Bila ekonomi telah dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar. Tetapi yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat,” terang Marzuki lagi.

Sepanjang tempoh 17 bulan Muhyiddin mengendalikan krisis kesihatan, Marzuki berkata kerajaan yang dipimpin Muhyiddin sentiasa mencari pendekatan yang terbaik dalam memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa kehidupan mereka dibela.

“Kita lihat dalam tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan,” ujarnya lagi.

Menurut Marzuki lagi, ramai pihak terlepas pandang dengan pelaksanaan dan pakej bantuan yang diberikan oleh kerajaan walhal ia berjaya menyelamatkan sektor ekonomi negara disamping mengelakkan lebih ramai kehilangan pekerjaan.

“Jumlah subsidi upah yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung keseluruhan tetapi meringankan beban.

“Saya lihat ada yang tidak dapat terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan dan mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan,” katanya yang sempat mengadakan lawatan bersama Muhyiddin meninjau program gelembung pelancongan pertama yang dibuka baru-baru ini.

Ujarnya lagi, di Langkawi sahaja kerajaan membelanjakan lebih RM 140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup memandangkan terdapat ramai pekerja tempatan disitu.

“Kalau ditutup dan tiada maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak.

“Jadi mereka terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan,” ujarnya lagi.

Sepanjang Muhyiddin mentadbir negara, kehidupan rakyat yang terjejas sentiasa menjadi pertimbangan utama kerana dasar kerajaan adalah prihatin kepada rakyat, jelas Marzuki lagi.

“Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita.

“Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat. Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN, PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain,” katanya.

Tiada ulasan: