Harga beras naik 150 peratus dalam tempoh 10 bulan
Oleh D.Arul Rajoo
BANGKOK: Di sebalik jaminan pengeksport beras utama dunia, Thailand, bahawa bekalan bahan itu tidak akan menghadapi masalah, namun harga beras putih yang dieksportnya, termasuk ke Malaysia, naik lebih 150 peratus dalam tempoh 10 bulan lepas dan mungkin mencecah AS$1,000 setan tidak lama lagi.
Pengeksport utama beras berkata bekalan bahan makanan itu sebenarnya mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seberang laut, tetapi kekurangan bekalan beras sekarang berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab spekulator dan sesetengah peniaga yang sengaja mewujudkan peningkatan permintaan bagi menaikkan harga bijirin itu.
Beberapa pengeksport yang dihubungi Bernama berkata harga eksport beras telah meningkat daripada hanya AS$338 setan pada Jun 2007, kepada AS$567 bulan lepas dan berlegar sekitar AS$850 bagi tempahan sekarang.
"Harga beras, termasuk yang dieksport ke Malaysia, meningkat sebanyak AS$512 hanya dalam tempoh 10 bulan... Saya bimbang ia akan naik hingga AS$1,000 berikutan permintaan terhadap beras Siam sekarang," kata seorang peniaga.
Peniaga ini berkata walaupun kenaikan harga beras yang begitu tinggi sekarang mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia, tetapi pengguna tidak perlu menjadi kelam kabut kerana Thailand mempunyai 2.1 juta tan beras dalam stok penimbalnya dan mampu menghasilkan hingga 30 juta tan padi setiap tahun.
Katanya daripada jumlah itu, 8.5 juta hingga sembilan juta tan adalah bagi kegunaan domestik dan jumlah yang sama banyaknya bagi tujuan eksport, dengan 60 peratus daripadanya adalah beras putih yang banyak digunakan, 30 peratus beras jasmine atau beras wangi campuran dan selebihnya beras pulut.
Terdapat kira-kira 200 pengeksport beras berdaftar di Thailand, kebanyakannya merupakan syarikat milik keluarga.
Seorang lagi peniaga, yang mengikat kontrak dengan Bernas, pengimport beras tunggal di Malaysia, berkata masalah yang wujud sekarang bermula tahun lepas, apabila India menetapkan kadar harga eksport minimum sebelum mengharamkan sepenuhnya eksport bahan itu bagi mengelak berlaku kekurangan bekalan, manakala Vietnam pula, pengeksport beras kedua terbesar dunia, memburukkan lagi keadaan dengan mengurangkan jualannya berikutan kejatuhan jumlah pengeluaran padi.
Malaysia, yang mengimport antara 700,000 dan 800,000 tan beras setahun sebagai tambahan kepada 1.1 juta tan yang dihasilkannya, membeli antara 50 dan 60 peratus bahan itu daripada Thailand dan selebihnya daripada Vietnam, India dan Pakistan.
Peniaga itu berkata melalui maklum balas yang diterima daripada pemborong dan peruncit di Malaysia, harga beras Malaysia, yang sebelum ini lebih mahal daripada beras Siam, lebih murah sekarang dan ini mendorong bahan itu diseludup ke Thailand.
Harga beras putih Thailand sekarang ialah kira-kira 15,000 baht (lebih kurang RM1,500) setan berbanding RM1,000 bagi beras Malaysia, berbanding antara 6,000 hingga 7,000 baht dan RM800 setahun lepas.
Adalah dipercayai, kenaikan harga itu menyebabkan beras putih Siam dijual pada harga antara RM1.80 dan RM2.50 sekilogram di Malaysia, berbanding RM1.60 hingga RM2.20 sebelumnya, manakala beras jasmine dijual pada harga antara RM3 dan RM4.70 sekilogram berbanding RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram sebelumnya.
"Memandangkan harga di Malaysia dikawal oleh kerajaan, kami mendengar cerita ada pemborong yang mencampur beras berkualiti tinggi dari Thailand dan Vietnam dengan beras tempatan," kata peniaga itu.
Peniaga berkenaan berkata pengeksport beras menghadapi masalah besar sekarang kerana sesetengah kilang enggan menjual stok mereka berikutan kenaikan harga bahan itu dan masalah ini boleh menjadi lebih meruncing jika Indonesia, Iran dan China memasuki pasaran bagi mendapatkan beras untuk keperluan masing-masing.
Katanya keadaan yang wujud sekarang boleh berlarutan setahun lagi sehinggalah lebih banyak padi dituai di Thailand dan Vietnam, yang kini mengurangkan eksportnya daripada 4.5 juta tan pada 2007 kepada 3.5 juta tan pada tahun ini.
"Ini bukan seperti kilang, di mana anda boleh buat kerja lebih masa. Bagi beras putih, ia memerlukan masa antara 90 hingga 120 hari, daripada peringkat menanam hinggalah ke peringkat menuai," katanya.
Peniaga berkenaan berkata walaupun permintaan terhadap bekalan beras meningkat, tetapi kadar keuntungan yang diraih peniaga masih kurang daripada lima peratus, manakala pengeksport pula kerugian kirakira AS$250 setan kerana tempahan bagi bekalan bahan ini dibuat beberapa bulan lebih awal. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan