HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 April 2008

Belum putus air percuma
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS


SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berjanji memberi perkhidmatan bekalan air 20 meter padu percuma mulai 1 Jun ini tetapi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pula sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata, ini kerana kajian menyeluruh terhadap cadangan untuk tidak mengenakan caj ke atas 20 meter padu air di semua kediaman dengan meter individu itu belum selesai.

"Kita tengah kaji pemberian air percuma ini daripada aspek undang-undang, pelaksanaan serta kerugian yang mungkin dihadapi Syabas," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan b

erhubung pemberian air percuma kepada penduduk negeri ini yang diumumkan kerajaan negeri Selangor pada 28 Mac lalu.

Menurut Rozali, beliau akan memaklumkan hasil kajian kesan pemberian air percuma termasuk kerugian perolehan yang mungkin dihadapi Syabas kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

"Selepas itu, satu sidang akhbar akan diadakan bagi mengumumkan keputusan mengenai pemberian air percuma ini di Wisma Rozali dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mengumumkan rakyat negeri ini bakal menikmati bekalan air percuma sehingga 20 meter padu sebulan sebagai mengotakan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pada mulanya cadangan itu akan dilaksanakan pada bulan ini tetapi pada hujung bulan lalu kerajaan negeri Selangor menangguhkannya sehingga bulan Jun ini.

Pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu penggunaan air pada peringkat kegunaan rumah tangga atau domestik menyamai nilai RM11.40.

Tiada ulasan: