HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 April 2008

Petani desak naikkan harga padi


ALOR STAR: Golongan pesawah padi di Kedah mendesak supaya harga padi dinaikkan ekoran lonjakan harga beras yang mendadak selepas bekalan makanan itu dilaporkan semakin meruncing di pasaran dunia.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Datuk Yusuff Ismail berkata persatuan itu menerima banyak rungutan daripada wakil petani yang mengadu supaya pihak bertanggungjawab mempertimbangkan kenaikan harga itu secepat mungkin.

"Desakan ini juga dibuat kerana kos untuk mengusahakan sawah semakin meningkat termasuk kenaikan harga racun dan baja.

"Kenaikan itu diharap dapat meringankan beban petani yang mendakwa sudah lama harga padi tidak disemak semula," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Yusuff berkata kenaikan harga padi juga boleh dianggap sebagai insentif kepada golongan petani di samping menjadi dorongan kepada mereka supaya meningkatkan hasil tuaian setiap musim.

"Jika harga padi naik, mereka akan lebih bersemangat dan ini dapat meningkatkan pengeluaran padi di negara ini.

"Hasilnya negara tidak perlu mengimport bekalan itu dan sudah pasti kita tidak akan berhadapan dengan krisis kekurangan bekalan beras," katanya.

Yusuff berkata sebagai penyumbang pengeluaran padi negara sebanyak 40 peratus, rungutan petani itu perlu diberi perhatian yang serius. BERNAMA

Tiada ulasan: