HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 April 2008

Kelab Penyokong Khairy Jamaludin


Dalam keghairahan membicarakan tentang penentangan masyarakat Melayu terhadap pucuk pimpinan UMNO, timbul cerita mengenai strategi Pak Lah tidak meletakkan menantunya Khairy sebagai menteri kabinet untuk menarik sokongan penyokong pembangkang sebelum ini yang secara terang-terangan menentang Pak Lah. Strategi yang kononnya dibuat bagi memberi keyakinan pada orang Melayu bahawa Pak Lah mengenepikan kepentingan keluarga sebenarnya hanyalah satu lagi sandiwara.

Saya telah berkesempatan menemui seorang hamba Allah yang wajar saya gelar balaci UMNO dan Khairy ini. Saya tidak pasti samada balaci ini menggunakan nama Khairy untuk menguatkan dakwaan bagi mendapatkan projek semata-mata, atau memang wujudnya segelintir balaci yang mempunyai hubungan rapat dengan Khairy. Menurutnya, walaupun KJ tidak ditabalkan sebagai mana-mana menteri dalam kabinet, beliau diberi kuasa untuk 'mengusik' mana-mana kementerian (dalam kata lain, mengarahkan menteri) supaya mengikut telunjuknya bagi tujuan membuat keputusan berkaitan projek-projek kerajaan.

Jikalau benarlah demikian dakwaannya, saya berasa amat malang sekali menjadi rakyat sebuah negara yang diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional. Mandat yang diberikan rakyat kepada Barisan Nasional disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Saya juga merasakan ditipu dan ditindas oleh pemimpin kerajaan BN kerana kepercayaan yang diberikan hanya memberi kemewahan pada segelintir balaci dalam UMNO dan BN.

Malang sungguh penyokong BN zaman ini, dipermainkan bagai budak-budak tadika KEMAS. Gurunya ialah Pak Lah, mengangkat tangan sambil melaungkan sesuatu yang tidak pasti dan tiada makna. Harapkan slogan cemerlang, gemilang dan terbilang yang semakin menyemakkan halwa telinga dan menyakitkan hati. Dibuatnya pula para anggota balaci UMNO yang hanya tahu mengangguk kepala tanda setuju membabi-buta.

Berbalik pada Khairy ini, jikalau benar kelab penyokongnya wujud, sewajarnya kita mengambil tindakan untuk memastikan ahli-ahlinya tidak bebas bergerak sampai ke tahap tiada lagi kedengaran penyokong dan balaci KJ. Seperkara yang saya lihat ialah balaci UMNO dan KJ ini adalah mereka yang berpendidikan tetapi tidak berakal, berkelulusan tetapi tidak berfikir, bercita-cita tinggi tetapi tidak berusaha, bersemangat tetapi tiada keberanian bersuara dan tahu kesalahan tetapi malu menegakkan kebenaran. Memang wajarlah mereka digelar balaci.

Diterima daripada pembaca blog Anti Khairy.

Anak Jati Rembau.

Tiada ulasan: