20 lagi balai polis baru akan dibuka di Selangor
KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 buah balai polis baru akan dibuka di seluruh Selangor dalam fasa dua, sebagai tambahan kepada 20 buah yang dibuka menerusi fasa pertama pada Feb lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kesemua 40 buah balai itu melibatkan perbelanjaan berjumlah RM3.2 juta, dan menurutnya 18 buah balai akan dibuka pada 15 April ini.
"Kami merancang untuk membuka 107 buah balai secara berperingkat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Bandar Damai Perdana, Cheras dekat sini.
Beliau berkata pembukaan balai-balai polis baru itu dibuat dengan menyewa premis perniagaan di sekitar kawasan perumahan dan mengikut keperluan para penduduk.
Katanya ini bagi merealisasikan harapan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar anggota pasukan dapat bekerja keras membanteras jenayah disamping mengubah minda pegawai dan anggota supaya menjadikan masyarakat sebagai keperluan utama dalam menjalankan tugas.
"Kami juga berharap anggota-anggota polis dapat mengenali masyarakat di kawasan mereka supaya mereka lebih mesra dengan masyarakat, dan dapat mengambil apaapa tindakan dengan lebih pantas," katanya.
Sementara itu Khalid berkata polis ada menerima satu laporan berhubung kes pemalsuan geran tanah di Selangor, namun menurutnya ia membabitkan individu tertentu bagi tujuan menipu, dan bukannya membabitkan sindiket.
"Masalah ini terkawal. Setakat ini belum ada laporan polis dibuat oleh kerajaan negeri mengenai keskes status pemilikan tanah oleh pihak tertentu," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan