Mukhriz beriya-iya...Khairy masih berkira-kira...Khir Toyo sudah sedia...Azimi pun nak cuba
Agendadaily
Makin panas… Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia walaupun dijadualkan hujung tahun ini tetapi gendang perangnya semakin kuat dipalu ekoran keputusan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak akan mempertahakan jawatan tersebut.
Walaupun beberapa nama disebut sebagai berpotensi untuk bertanding merebut jawatan tersebut, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir paling tidak jika dilihat daripada kenyataannya amat bersungguh-sungguh menawarkan dirinya.
Terbaru, beliau menegaskan dirinya tidak akan berkompromi dengan sesiapa untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda sekiranya mendapat pencalonan yang mencukupi.
Berbeza dengan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga disebut-sebut potensi calon untuk jawatan berkenaan hanya membuat kenyataan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak.
Namun pendiriannya itu bercanggah dengan pendapat umum yang menilai Khairy akan berhadapan dengan laluan sukar sekiranya ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda berdasarkan sentimen politik semasa yang meletakkan Khairy sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.
Maka dengan sebab itu, Khairy yang kini menjawat Naib Ketua dalam kenyataanya memberi alasan, beliau tidak boleh mengenepikan institusi Pemuda semata-mata untuk membuat keputusan peribadi berhubung pertandingan jawatan Ketua Pemuda.
"Sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, saya mewakili sebuah institusi dan sebab itu saya tidak dapat membuat apa-apa keputusan secara terburu-buru mengikut kehendak peribadi saya.
"Saya diajar oleh Datuk Seri Hishammuddin untuk menjaga institusi, maka saya kena kembali kepada institusi iaitu kepada akar umbi (ahli Pemuda UMNO cawangan dan bahagian) dan mendapatkan pandangan mereka dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat khidmat masyarakat Anggota Parlimen Rembau hari Jumaat.
Mukhriz yang juga Exco pergerakan itu dalam memperkuatkan hujahnya untuk bertanding berkata, beliau mengalu-alukan pertandingan dalam UMNO kerana ia merupakan satu proses yang boleh menyuburkan semula parti tersebut.
Justeru, katanya, adalah lebih baik jika ramai yang berminat untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan nombor satu pergerakan berkenaan.
''Dulu seingat saya jawatan ini pernah ada pertandingan sehingga enam penjuru dan ini tidak ada membawa sebarang masalah. Walaupun ada yang mengatakan jika ada pertandingan di peringkat tertinggi, ini mungkin akan memecah belahkan parti dan Pemuda UMNO, saya kira itu tidak semestinya berlaku kalau kita bertanding dan berkempen secara berhemah dan 'gentleman','' katanya.
Selain Mukhriz, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo turut menawarkan diri untuk bertanding.
Beliau yang sebelum ini kata sedia memberi laluan kepada Mukhriz untuk bertanding jawatan tersebut sekiranya Mukhriz mendapat sokongan yang kuat daripada Pemuda Jumaat ubah fikiran.
Bercakap dalam sidang akhbar di Shah Alam Dr Khir berkata beliau hanya akan bertanding jawatan itu dan tidak Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan kali ini.
Katanya beliau yakin dapat membawa dimensi baru kepada kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO, memandangkan beliau baru berusia 43 tahun dan berpengalaman mentadbir negeri sebagai Menteri Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan ahli MT.
Dr Khir berharap pertandingan merebut jawatan itu berlaku secara sihat yang mampu mematangkan lagi anggota Pemuda UMNO menghadapi cabaran pada masa akan datang.
Sementara itu akhbar Utusan Malaysia melaporkan Ketua Penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim pun menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan itu.
Beliau berkata sekarang masa paling sesuai untuknya bertanding apatah lagi ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah pun mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.
‘‘Saya sedia mempertimbangkan untuk bertanding Ketua Pemuda jika mendapat sokongan di peringkat bahagian,‘‘Lagipun saya telah lama berjuang dalam UMNO termasuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulim Bandar Baru begitu lama sebelum menjadi Ketua Penerangan Pemuda,”katanya.
Azimi yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar Bharu mengimbas beliau pernah menawarkan diri untuk bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO pada 2004 tetapi menarik diri untuk memberi laluan kepada Khairy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan