Pertembungan Khairy-Khir Toyo
Nash Rahman
Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka mengotakan janjinya untuk tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda Umno dan perebutan jawatan itu bakal menyaksikan pertembungan antara dua 'musuh tradisi' - Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan naib ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.
"Kali ini kita akan dapat melihat kekuatan sebenar Khairy yang selama ini didakwa banyak bergantung kepada pengaruh bapa mertuanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata seorang pemimpin Umno bahagian di Selangor.
Katanya, begitu juga dengan Dr Mohd Khir yang kini bukan lagi menjadi menteri besar Selangor dan telah melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor.
Ditanya sama ada Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno bagi membolehkan Dr Mohd Khir berentap dengan Khairy bagi merebut jawatan tersebut, pemimpin itu berkata:
"Sebagai seorang yang berwibawa, Datuk Seri Hisham mesti mengotai janjinya selepas dipilih semula pada 2004, bahawa beliau akan memegang jawatan tersebut untuk sepenggal sahaja lagi," katanya
Mesyuarat perwakilan Umno peringkat cawangan bermula pada 17 Julai hingga 24 Ogos, dan mesyuarat peringkat bahagian pada dari 9 Oktober hingga 9 November.
Hishammuddin menjadi ketua Pemuda Umno tanpa bertanding sejak tahun 2000 selepas mengambilalih jawatan tersebut daripada sepupunya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
'Padang sama rata'
Sebelum inipun, kata beliau, ramai pihak yang mahu melihatkan Dr Mohd Khir dan Khairy merentap di gelanggang terbuka untuk menguji kekuatan masing-masing dalam Umno.
Ini ekoran dakwaan bahawa Khairy telah menggunakan pihak media untuk 'menyerang' Dr Mohd Khir sewaktu beliau menjadi menteri besar Selangor.
"Sampai longkang tersumbat pun nak salahkan menteri besar (Dr Mohd Khir)... begitu jelas ada pihak yang memanipulasikan media untuk menghentam beliau... kita tahu siapa di sebaliknya," kata pemimpin itu lagi.
Bagaimanapun, katanya, ketika itu, Khairy banyak bergantung kepada Abdullah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti, apabila menang naib ketua Pemuda Umno tanpa bertanding serta diberi tempat bertanding di parlimen Rembau dalam pilihanraya umum lalu.
Tetapi, katanya, keadaan kini sudah berubah ekoran prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu yang turut menjejaskan sokongan ahli kepada Abdullah dan Khairy sendiri.
"Kini wujud ruang untuk kedua-dua mereka - Dr Mohd Khir dan Khairy - bertanding di padang yang sama rata... yang tentunya dinanti-nantikan oleh banyak pihak," kata pemimpin itu lagi.
Malah, katanya, tidak keterlaluan jika pertandingan itu dianggap sebagai pertemuan 'buku dengan ruas'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan