Presiden PAS hulurkan tangan untuk wakil rakyat BN
Oleh RoslanSMS
SHAH ALAM - Semalam semasa menghadiri program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana sempena kemenangan PAS di Selangor, di Stadium Malawati, Shah Alam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.
Barisan Rakyat yang terdiri dari pakatan PAS, PKR dan DAP yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan agar bersama-sama samada secara bersendirian atau "en bloc" menyertai gagasan politik baru ini bagi membina Malaysia baru yang lebih selamat, sejahtera dan makmur buat rakyat Malaysia keseluruhannya.
Menurut Presiden PAS lagi ternyata hasil dari gelombang kebangkitan rakyat dalam PRU ke 12 lalu, Barisan Nasional kini sudah semakin dipinggirkan rakyat dan sudah semakin tidak relevan dalam arus politik negara.
Oleh itu semua pihak perlu realistik dan menerima hakikat politik semasa ini dengan lapang dada. Beliau mengharapkan melalui gagasan pakatan politik baru ini nanti dapatlah semua pihak bersatu dan sama-sama menyusun agenda dan hala tuju baru negara demi nasib dan masa depan semua rakyat tanpa mengira agama atau bangsa.
Presiden PAS turut menegaskan bahawa gagasan pakatan baru itu nanti perlulah memberi keutamaan kepada desakan dan tuntutan rakyat iaitu antaranya adalah:
1) Menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan yang seumpamanya.
2) Segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya di Malaysia sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
3) Memperkasa dan memberikan kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak lagi mengamalkan pendakwaan berpilih.
4) Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik.
Adalah diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan