HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 April 2008

Penjelasan MB Selangor: Beza organisasi kerajaan dan politik
Oleh Bernama


Shah Alam: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menekankan keperluan untuk rakyat memahami perbezaan antara organisasi kerajaan dan politik dan bagaimana masing-masing menjalankan fungsi.

Mengambil beliau sebagai contoh, katanya beliau adalah setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan organisasi politik dan beliau juga adalah menteri besar dalam kerajaan negeri Selangor.

Katanya sebagai menteri besar, beliau bertanggungjawab kepada semua rakyat di negeri itu tanpa mengira sama ada mereka merupakan ahli mana-mana parti politik atau tidak bersekutu dengan mana-mana badan politik.

Pembayar cukai di Selangor membayar gaji saya sebagai menteri besar, katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel pengurusan sukan bagi Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2008 di sini.

Abdul Khalid diminta mengulas sokongan kepada Barisan Nasional (BN) semalam oleh 362 ketua kampung yang dilantik oleh Umno.

"Saya tidak fikir ketua kampung tersebut diambil kerja oleh Umno kerana jika begitu, gaji mereka seharusnya dibayar oleh Umno.

Jika gaji mereka dibayar oleh kerajaan persekutuan, ia bukan duit Umno tetapi pada dasarnya wang pembayar cukai," katanya.

Ditanya sama ada langkah ketua kampung itu akan menjejaskan hubungan mereka dengan kerajaan negeri PKR-DAP-PAS, beliau berkata: "Tidak, saya fikir tidak begitu. Mereka boleh menjamin kesetiaan mereka kepada Umno.Mereka kemudian boleh juga berbuat demikian kepada PKR, PAS dan DAP.

Katanya ketua-ketua kampung boleh menemui Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kerana ia adalah tugas mereka tetapi untuk mengatakan mereka bekerja untuk Umno sahaja adalah salah.

'Jika itu sikap mereka, mereka tidak sepatutnya menerima lagi sebarang bayaran dari kerajaan pusat kerana wang kerajaan pusat adalah wang pembayar cukai dan Selangor adalah antara negeri terbesar memberikan cukai itu," katanya.

Abdul Khalid berkata walaupun mempunyai pandangan berbeza dalam politik, beliau masih menyambut menteri-menteri dari kerajaan pusat kerana mereka masih merupakan pemimpin rakyat Malaysia yang mempunyai tujuan sama -- bekerja untuk memajukan semua masyarakat di negara ini.

Tiada ulasan: