HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 April 2008

Umno pelopori 'rasuah politik' di Malaysia
Awang Harun


KUALA NERUS (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbungan, Drs. Zainudin Awang menyifatkan Umno kini semakin tenat dalam arena politik di negara ini.

Katanya, pelbagai masalah timbul selepas parti itu mengalami kemerosotan undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 termasuk kebimbangan terhadap Adun-adun Barisan Nasional (BN) keluar parti.

"Umno sekarang ini sudah tenat kerana hilang banyak majoriti dalam pilihan raya umum lalu dan kebimbangan paling ketara takut wakil rakyat mereka (BN) keluar parti.

"Mereka (BN) ingin buat undang-undang 'lompat' (keluar) parti takut dibeli oleh parti pembangkang,"ujarnya ketika berucap pada Ceramah Maulidurrasul di Ma'ahad Tahfiz Wa-Tarbiyyah Darul Iman, semalam.

Katanya, kebimbangan itu menjurus kepada politik wang atau rasuah politik yang oleh mana-mana pihak dalam negara ini.

Menurutnya, Umno dan kerajaan BN adalah juara dalam amalan politik wang atau rasuah politik dalam parti dan kerajaan hari ini.

"Umno/ BN adalah juara politik wang atau rasuah politik yang diamalkan bukan sahaja dalam pemilihan jawatan parti tetapi juga berhadapan dengan parti lawan (pembangkang),"jelasnya.

Menurut beliau, PAS mempunyai pengalaman apabila tiga orang Adun PAS Kelantan pernah ditawarkan sejumlah wang bagi tujuan keluar parti menyertai Umno/BN selepas pilihan raya umum ke-11 lalu.

Katanya, jika dalam parti sendiri pun sanggup guna rasuah politik apatah lagi dalam situasi berhadapan dengan pembangkang.

"Kita (PAS) pun ada pengalaman getir tahun 2004, apabila tiga wakil rakyat kita (PAS) ditawarkan sejumlah wang RM5 juta untuk 'lompat' (keluar) parti.

"Waktu itu kelebihan kita hanya dua kerusi tetapi wakil rakyat PAS ada maruah dan harga diri menolak tawaran itu," ujarnya.

Menurutnya, rasuah politik itu kini telah memakan diri (parti) sendiri dan rakyat umum mulai sedar keburukan tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik. - mks.

Tiada ulasan: