HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 April 2008

Siaran langsung persidangan Dewan Rakyat tingkatkan pemahaman rakyat


KUALA LUMPUR: Masyarakat akan lebih memahami isu-isu yang dibangkitkan wakil rakyat apabila RTM menyiarkan secara langsung sesi soal jawab semasa persidangan Dewan Rakyat mulai 30 April ini, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata melalui siaran langsung itu, masyarakat dapat mengikuti dan memahami apa yang dilakukan oleh anggota Parlimen dan kerajaan.

"Langkah ini baik, malah kita tidak perlu bimbang. Jika kita tidak lakukan (siaran langsung), ia akan diceritakan oleh pihak yang hadir dan yang mendengar di situ (Parlimen).

"Daripada kita dengar cerita daripada orang lain, lebih baik kita paparkan supaya masyarakat boleh dengar dan tahu dan tidak harus ada perlindungan tentang perdebatan di peringkat Parlimen," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini.

Shafie berkata siaran langsung itu juga dapat mengingatkan wakil rakyat untuk menggunakan bahasa yang lebih tersusun dan sopan.

"Kalau ini sebahagian daripada langkah untuk membudayakan ahli Parlimen dengan menggunakan tutur bahasa yang agak teratur, tersusun dan juga berbudaya, selaku menteri, saya menyokong penuh langkah itu," katanya.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam mengumumkan RTM, menerusi RTM1 akan menyiarkan persidangan Dewan Rakyat selama 30 minit tanpa tapisan.

Kabinet telah meluluskan penayangan secara langsung sesi soal jawab iaitu dari pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi setiap hari mulai 30 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zahid Hamidi turut menyokong penuh siaran langsung itu yang dilihat dapat mengubah persepsi sesetengah pihak yang beranggapan kerajaan tidak telus dalam sistem penyiarannya.

"Sebelum ini RTM dituduh terlalu menapis penyiaran rancangannya, jadi 30 minit tanpa tapisan ini penting supaya masyarakat termasuk ahli politik dapat mengikuti bagaimana perbahasan sebenar Dewan Rakyat dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan keuntungan skim ArRahnu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini. BERNAMA

Tiada ulasan: