HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Mei 2008

ABDULLAH PESONGKAN OBJEKTIF MENGENAI EGM UMNO BAHAGIAN?
Ruhanie Ahmad


Nombor keahlian UMNO saya adalah: 00003472. No kod keahlian saya adalah: J07152. Jadi, kalau pada hari ini terdapat lebih tiga juta ahli UMNO, kedudukan saya adalah dalam lingkungan tiga ribu ahli yang pertama di seluruh negara.

Saya menghuraikan hakikat di atas bukan untuk bermegah-megah diri. Tetapi, saya ingin membuktikan kepada Presiden UMNO Malaysia bahawa saya adalah daripada kalangan individu yang senior keahliannya dalam parti. Ini bermakna, kalau saya memilih untuk bersuara, suara saya bukan suara sumbang, suara saya bukan suara remeh, suara saya bukan suara budak hingusan dalam UMNO.

Sewaktu UMNO terumbang-ambing dilanda beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor pada 1987 dan 1988, saya salah seorang gurkha UMNO yang berhempas pulas untuk membantu kepimpinan UMNO Johor - khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Dato’ Abdul Ghani Othman - dan UMNO Malaysia, bagi memenangkan calon BN. Memang kita tewas di Parlimen Johor Bahru. Tetapi, kita berjaya di DUN Parit Raja dan DUN Tambatan.

Sesudah itu, kita berhempas pulas membantu kepimpinan negeri untuk mewujudkan jawatankuasa penaja UMNO di seluruh Johor. Kita pernah dimaki hamun. Kita pernah dihalau. Kita pernah diadang dengan barisan pemuda yang menghanyun-hayunkan parang panjang untuk melarang kita mengendalikan suatu mesyuarat penajaan UMNO cawangan.

Sesudah itu, kita sama-sama menjadi pemain di sebalik tabir untuk mengatur serta menguruskan Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) yang kemudiannya merintis jalan perpaduan majoriti Melayu Johor untuk pulang ke pangkuan UMNO. Mereka termasuklah beberapa nama yang kini menjadi menteri dalam kabinet Abdullah.

Berasaskan cebisan sejarah ringkas di atas, hari ini saya mahu menegur Abdullah selaku Presiden UMNO. Kenyataan beliau seperti yang disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 April 2008, adalah satu kenyataan yang mengelirukan warga UMNO.

Saya tidak pasti sama ada Abdullah sedar bahawa kenyataan itu sangat-sangat mengelirukan. Atau, mungkinkah Abdullah memang sengaja mahu mengelirukan warga UMNO menerusi kenyataan berkenaan atas sebab-sebab tertentu. Kenyataan tersebut berbunyi demikian:

Pemesongan?

Abdullah meminta semua bahagian UMNO tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan isu pemilihan pucuk pimpinan, sebaliknya memusatkan tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Lebih baik tindakan seperti ini (EGM) tidak dilakukan kerana kita pada waktu ini memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan, jadi kita tumpukan pada hal yang diperlukan oleh rakyat.”

Begitulah bunyinya kenyataan Abdullah sesudah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur, Isnin 28 April 2008. Kenyataan tersebut adalah suatu penyelewengan fakta. Kenyataan itu adalah suatu pemesongan hakikat. Kenyataan seperti itu tidak seharusnya disuarakan oleh seeorang berjawatan Presiden UMNO.

Bagaimanakah Abdullah selaku Presiden UMNO mendapat idea bahawa EGM yang pertama kali dicadangkan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, adalah “bagi membincangkan isu pemilihan pucuk pimpinan” UMNO?

Mana pernah soal pemilihan pucuk pimpinan UMNO dibincangkan dalam mana-mana EGM UMNO sebelum ini? Adakah saya bermimpi kerana tidak mengetahui adanya EGM untuk hal ini? Atau, mungkinkah Abdullah yang sebenar-benarnya sedang bermimpi untuk mengatakan bahawa pemilihan pucuk pimpinan parti memerlukan suatu EGM parti? Peruntukan Perlembagaan UMNO yang manakah yang jadi rujukan kenyataan Abdullah ini?

Tidakkah Abdullah insaf bahawa Razaleigh, menerusi surat edarannya kepada seluruh ketua cawangan UMNO di seluruh negara, bertarikh 12 Mac 2008, sebenarnya mencadangkan diadakan EGM oleh bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara, antaranya adalah atas matlamat berikut:

Supaya seluruh warga dan pemimpin UMNO di semua peringkat melakukan proses muhasabah diri secara serius, tenang dan sabar untuk membincangkan agenda: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 dan masa depan UMNO dan orang Melayu dan memeriksa di manakah kesilapan kita, apakah kelemahan kita, mengapakah kebanyakan pengundi Cina dan India menolak MCA dan MIC dan mengapakah calon-calon “incumbent” UMNO dikalahkan oleh calon PKR dan PAS.

Keputusan

Tidak terdapat sepatah pun ayat dalam surat Razaleigh yang mengatakan EGM UMNO perlu diadakan untuk membincangkan “isu pemilihan pucuk pimpinan” seperti yang ditegaskan oleh Abdullah. Sebaliknya, Razaleigh turut menyatakan seperti berikut:

Memandangkan betapa penting dan mendesaknya perkara ini (keputusan PRU12) kita bincangkan dengan segera dan tidak membiarkan apa-apa kesilapan dan kelemahan kita yang fundamental berlalu begitu sahaja atau disorok atau disimpan dalam dada masing-masing, tidak diluahkan, saya mengesyorkan supaya semua Bahagian UMNO, dengan menggunakan peraturan yang ada dalam Perlembagaan UMNO, iaitu Fasal 14.6.1 dan Fasal 8.5.3, meminta atau mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas untuk membincangkan perkara ini sebelum Persidangan Agung UMNO tahunan diadakan dalam tahun ini. Saya syorkan supaya tarikhnya ialah 11 Mei 2008.

Oleh itu, izinkan saya bertanya kepada Abdullah yang mendakwa kononnya pada ketika ini beliau “memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan” mengapakah pesongkan matlamat EGM yang disarankan oleh Razaleigh?

Dan, kalau Abdullah memang benar-benar “memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan” sesudah PRU12, adakah Abdullah insaf bahawa majoriti rakyat sebenarnya mahukan kepimpinan negara dan kepimpinan UMNO ditukar dengan segera demi masa depan agama, bangsa dan negara?

Kalau Abdullah benar-benar “memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan” tidak insafkan Abdullah bahawa majoriti rakyat sudah bersuara bahawa UMNO tidak akan pulih selagi kepimpinannya tidak ditukar pada ketika ini.

Begitu juga dengan kerajaan. Insafkah Abdullah bahawa keyakinan sebilangan rakyat terhadap kerajaan semakin tipis selagi Perdana Menterinya masih orang yang lama?

Memang sejak 9 Mac 2008 hingga sekarang Abdullah mendakwa bahawa beliau menerima sokongan padu daripada para pemimpin UMNO dan BN. Tetapi, adakah para pemimpin UMNO dan BN sahaja yang mesti diambilkira dalam memastikan sesuatu kerajaan itu mantap dan disokong rakyat jelatanya?

Jika Abdullah masih yakin akan sokongan berkenaan, analisalah kajian yang dikemaskinikan oleh Merdeka Center mengenai sokongan kepada BN dan pembangkang seperti berikut:

Sokongan

Mulai September 2007: Mereka yang menyokong BN adalah 59 peratus dan menyokong pembangkang 40.8 peratus. Pada Oktober 2007: Mereka yang menyokong BN adalah 56 peratus dan menyokong pembangkang 43.8 peratus. Pada Disember 2007: Mereka yang menyokong BN adalah 54 peratus dan menyokong pembangkang 46.4 peratus.

Pola sokongan ini berterusan sesudah Parlimen di bubarkan pada 13 Februari 2008, sewaktu proses kempen PRU12, dan beberapa hari menjelang pembuangan undi bagi PRU12. Sebab itulah peratusannya pada tempoh 9 Februari hingga 19 Februari 2008: Mereka yang menyokong BN adalah 55 peratus dan menyokong pembangkang 44.7 peratus. Pada tempoh 23 Februari 2008 hingga 27 Februari 2008: mereka yang menyokong BN adalah 57 peratus dan menyokong pembangkang 42.6 peratus. Pada tempoh 29 Februari hingga 4 Mac 2008: Mereka yang menyokong BN adalah 54 peratus dan menyokong pembangkang 46.1 peratus. Dan, pada tempoh 5 Mac hingga 7 Mac 2008: Mereka yang menyokong BN menurun kepada 48 peratus dan yang menyokong pembangkang meningkat kepada 51.9 peratus.

Kini PRU12 sudah berlalu. Adakah Abdullah yakin sokongan terhadap BN yang kian merosot seperti di atas dapat dipulihkan jika beliau masih jadi Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri? Tidakkah Abdullah insaf bahawa rakyat jelata Malaysia mutakhir ini terus mempertikaikan kehadirannya sebagai Perdana Menteri?

Tetapi, jika Abdullah enggan berundur dan bimbang EGM yang dicadangkan oleh Razaleigh mungkin menjejaskan kedudukannya yang umpama telor di hujung tanduk, janganlah sampai tergamak untuk memperbodohkan seluruh warga UMNO kononnya EGM yang dicadangkan oleh Razaleigh adalah membabitkan isu pemilihan pucuk pimpinan UMNO.

Bagaimanapun, kenyataan Abdullah ini boleh ditakrifkan sebagai: ketiadaan minat beliau untuk memulihkan UMNO, dan kesambil-lewaan beliau dalam menggarap masalah serta musibah yang menimpa UMNO sesudah PRU12. Adakah begini sikap orang nombor satu UMNO? Tidakkah sikap dan pendirian seperti ini lebih mengecewakan warga UMNO seluruhnya?

Maka, demi negara Malaysia dan demi bangsa Malaysia, apakah Abdullah wajar perlu terus memimpin UMNO pada saat dan ketika ini? Tidakkah beliau bijaksana membaca segala mesej rakyat yang dimanifestasikan menerusi keputusan PRU12? Bukankah kenyataan mengenai peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sekadar satu muslihat untuk membolehkan sesuatu tindakan dilakukan demi mengekalkan kuasa Abdullah walaupun tanpa mandat penuh rakyat jelata?

Abdullah, ingatlah bahawa senario siasah Malaysia di era pasca PRU12 bukan senario biasa. Ia senario luar biasa. Ia senario darurat. Ia senario yang bergelut dengan soal hidup dan mati, soal survival dan soal tuntutan yang utama daripada rakyat jelata. Dan tuntutan itu ialah: Abdullah berundurlah secara bermaruah dan segera!

Tiada ulasan: