Bantuan pelajaran RM1,000 untuk golongan berpendapatan rendah
SHAH ALAM: Bantuan pelajaran RM1,000 untuk anakanak Selangor yang memulakan pengajian di peringkat diploma dan ijazah akan dimulakan dengan golongan miskin berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan.
Bantuan itu dijanjikan oleh Kerajaan Selangor menerusi manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata exco terbabit akan menyediakan tatacara memberi bantuan bagi mereka yang layak untuk memulakan sesi pengajian di peringkat universiti bagi semua kaum Melayu, Cina dan India.
Beliau berkata pada peringkat pertama bantuan pelajaran itu akan difokuskan kepada golongan berpendapatan rendah yang ditawarkan melanjutkan pelajaran bagi peringkat diploma dan ijazah sahaja.
"Kita telah arahkan pengarah kewangan negeri untuk menyediakan bajet bagi bantuan itu..." katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) 2008 di sini hari ini.
Beliau berkata proses untuk mendapatkan bantuan itu akan dibuat melalui pejabat daerah atau wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dimulakan dalam masa terdekat bersesuaian dengan menjelangnya sesi pengajian pada Jun dan Julai depan.
Sementara itu, ditanya perkembangan isu pembubaran dan pemindahan dana Badan Amal Kebajikan Isteri Selangor (BALKIS), Abdul Khalid berkata tiada sebarang jawapan diterima dari pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) setakat ini, namun surat susulan telah dihantar berhubung isu itu.
"Kita akan membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat DUN dan akan dibincangkan dan dibahaskan oleh anggota DUN sebagai public interest," katanya.
Pada 26 April lepas, Abdul Khalid meminta pembubaran Balkis segera ditarik balik kerana ia didakwa dilakukan tanpa mengikut peraturan.
Abdul Khalid juga mendakwa tindakan Yang Dipertua Balkis Datin Seri Zahrah Kechik memindahkan dana Balkis itu ke dalam akaun Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri (BAKTI) dilakukan tanpa mengikut undang-undang dan boleh disabitkan dengan 'pecah amanah'.
Zahrah bagaimanapun, memberitahu sidang akhbar pada 27 April, pembubaran badan itu dilakukan mengikut perlembagaan selepas mesyuarat agung khas badan berkenaan diadakan.
Beliau berkata semasa pembubaran Balkis pada 11 Mac lepas, Menteri Besar Selangor yang baru masih belum dilantik; oleh itu isteri Menteri Besar berkenaan masih belum menjadi Yang Dipertua Balkis. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan