Lebih tiga ribu pelajar terbabit jenayah tahun lalu, kata Lee
KUANTAN: Lebih 3,000 pelajar sekolah menengah ditahan kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lepas, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.
Sehubungan itu, beliau berkata satu kaedah proaktif dan bersepadu melibatkan semua pihak perlu dilakukan segera bagi membendung masalah itu daripada terus menjadi semakin serius.
"Pada tahun lepas seramai 3,383 pelajar ditahan atas jenayah rogol, merusuh, mencuri, mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan curi motosikal, walaupun perangkaan menunjukan berlaku penurunan sedikit berbanding pada 2006 iaitu 3,550 pelajar ditangkap, namun statistik ini masih dianggap serius," katanya ketika berucap pada Seminar Pencegahan Jenayah Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Seminar sehari itu dirasmikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ayob Mohamed.
"Banyak faktor menyumbang kepada penglibatan pelajar dalam jenayah seperti kesan pembangunan negara, kecuaian ibu bapa, masalah rumah tangga dan pengaruh rakan sebaya," katanya.
Lee berkata Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di peringkat sekolah yang diwujudkan sejak 1999 adalah antara usaha yayasan itu dengan kerjasama Kementerian Pelajaran untuk mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar.
"Sebanyak 1,400 KPJ telah berjaya diwujudkan di sekolah-sekolah menengah seluruh negara bagaimanapun hanya 60 peratus atau 840 kelab sahaja yang sehingga kini yang dilihat sebagai aktif.
"Fokus kita sekarang mengaktifkan kelab-kelab tersebut. Saya telah berbincang dengan ahli jawatan kuasa peringkat pusat untuk membantu daripada segi sumbangan dan motivasi," katanya.
Beliau berkata yayasan itu sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran mengenai cadangan mewajibkan penubuhan kelab itu di setiap sekolah.
"Apa yang penting sebenarnya bukanlah sekadar wujudkannya di sekolah-sekolah tetapi memastikan kelab tersebut dapat berperanan memberi kesedaran kepada para pelajar menjauhi perlakuan jenayah," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan