HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Mei 2008

Kerajaan jangan saling tuding jari isu beras


ALOR STAR: Kerajaan tidak seharusnya menuding jari antara kementerian dengan kementerian lain untuk menyelesaikan isu kenaikan harga beras yang semakin membebankan rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) sepatutnya bekerjasama menyelesaikan isu kenaikan harga beras negara.

Katanya setiap hari beliau menerima banyak aduan daripada petani dan orang ramai yang membantah mengenai kenaikan harga beras yang naik hampir setiap hari.

"Saya rasa hairan kenapa kementerian KPDN&HEP hanya boleh mengawal harga beras yang 15 peratus hancur, sedangkan harga beras lain dinaikkan sesuka hati oleh pihak pekilang," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau juga turut mempersoalkan peranan syarikat Beras dan Padi Nasional (Bernas) yang merupakan syarikat tunggal kerajaan memiliki permit mengimport beras.

Yusoff berkata, Bernas tidak membantu kerajaan dalam menangani kenaikan harga beras walaupun lebih 90 peratus jualan beras dalam negara adalah edaran Bernas melalui rangkaian anak syarikatnya.

Katanya saranan Kementerian Pertanian dan Asas Tani supaya rakyat mengurangkan makan nasi adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

"Saranan itu langsung tidak praktikal kerana nasi adalah makanan asasi rakyat Malaysia dan Kedah yang mengeluarkan 75 peratus beras negara, kenapa mereka perlu kurang makan nasi pula," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan harus mencari jalan penyelesaian dengan segera dan mencari dalang serta pihak yang mengambil kesempatan meraih keuntungan akibat kenaikan harga beras dunia. BERNAMA

Tiada ulasan: