Kementerian Penerangan rancang guna blog sebar maklumat
KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan sedang merancang untuk menggunakan blog sebagai satu daripada medium penyebaran maklumat kepada rakyat, kata menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek.
"Pihak kementerian sedang merancang penggunaan blog sebagai jambatan penyebaran maklumat dan menerima pandangan orang ramai mengenai isuisu yang dikemukakan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, Selasa.
Ahmad Shabery berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa penulis blog untuk mendapatkan pandangan mereka.
"Saya percaya mereka patut mengadakan pertimbangan pada diri mereka sendiri apa yang patut dan apa yang tidak patut dikeluarkan. Mereka yang melakukan perkara yang melanggar undang-undang seperti menghasut atau memfitnah, saya percaya undang-undang akan terkena pada mereka," katanya.
Menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) mengenai respon penonton terhadap rancangan "Blog" di RTM1 yang disiarkan selama 20 minit setiap Ahad, Ahmad Shabery berkata rancangan itu menarik rating 200,000 penonton sehingga kini.
"Saya difahamkan oleh RTM, penulis blog yang dijemput adalah mereka yang agak kritikal kepada kerajaan dan ini merupakan sebahagian daripada sifat keterbukaan kerajaan hari ini.
"Blog di Malaysia terlalu banyak dan setiap hari bertambah, ada 14 juta pengguna internet, 500,000 penulis blog dan lebih 700 penulis blog yang dianggap sosio politik tetapi banyak juga blog berkaitan seni, muzik dan terserah kepada kebijaksanaan RTM siapakah yang layak dijemput untuk rancangan itu," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan