Mahathir keluar Umno kerana parti itu tiada harapan untuk pulih – Anwar
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Keputusan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar dari Umno hari ini mencerminkan krisis Umno semakin parah, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya tindakan ini juga menunjukkan pemimpin saling berebut dan bercakaran, manakala rakyat semakin tidak terbela.
"Masalah dalaman Umno semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih.
"Walaubagaimanapun, kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin yang rasuah," tegas Anwar dalam satu ulasannya hari ini.
Bagi Anwar, memandangkan masalah dalaman Umno yang semakin merudum, semua rakyat Malaysia yang prihatin dengan kestabilan, kemajuan dan perpaduan masa depan negara dijemput menyertai KeADILan dan Pakatan Rakyat.
Ia penting untuk merealisasikan visi bersama untuk bersatu demi memulihkan Malaysia, kata Anwar.
Mengulas isu yang sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin pula berpendirian bahawa pengumuman itu adalah bertitik tolak daripada pelbagai konflik yang berlaku di dalam parti berkenaan.
AMK tidak terkejut dengan pengumuman Tun Mahathir, memandangkan sebelum ini tiga Presiden Umno terdahulu (Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, dan Tun Hussien Onn) juga tidak berdiri sebagai ahli Umno di saat mereka menghembuskan nafas yang terakhir, katanya.
Ulasan ringkas Tun Mahathir bahawa beliau akan berada di luar Umno sehingga kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi ditukar ganti adalah satu kenyataan yang menggambarkan bahawa Umno sudah tidak relevan lagi masa kini, katanya.
AMK komited dengan pendirian bahawa Tun Mahathir bertanggungjawab dengan segala bentuk cacamarba yang berlaku dalam konteks politik dan perundangan yang berlaku di Malaysia semenjak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan seawal tahun 1980-an.
"Ini diperhebatkan lagi dengan sifat 'duduk dan diam' Abdullah yang memandang ringan 'kekotoran' yang diamanahkan kepada beliau sepanjang beliau memerintah Malaysia dari tahun 2004," ujarnya.
Kekalutan yang melanda Umno semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti dua pertiga Umno dan Barisan Nasional.
Ini memberi gambaran bahawa hayat Umno dan politik perkauman sudah sampai ke penghujungnya, katanya.
"AMK dengan tegas menyatakan bahawa apa yang berlaku ini adalah masalah dalaman Umno, tetapi AMK percaya bahawa biar sehebat mana perubahan kepimpinan dilakukan di dalam Umno, ia tidak akan meredakan amarah rakyat yang sekian lama dizalimi dengan politik sempit naungan Umno/BN," katanya.
Kini tiba masanya semua rakyat menjunjung 'Ketuanan Rakyat' demi merealisasikan harapan baru buat segenap lapisan rakyat Malaysia, ujarnya.
Tun Mahathir telah mengumumkan keluar daripada Umno, berkuat kuasa serta-merta .
Bekas Presiden Umno selama 22 tahun antara 1981 dan 2003 itu dan merupakan antara ahli terawal parti itu sejak penubuhannya pada 1946 berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Umno sekarang.
"Saya umum saya keluar parti hari ini (semalam)," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada forum Nasib Kedudukan Bangsa Melayu di sebuah hotel di Alor Setar.
Menurut anggota Umno seumur hidup itu, beliau hanya akan kembali menyertai Umno selepas Abdullah yang juga Perdana Menteri meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.
"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan kepada mereka (mengenai langkah keluar daripada Umno)," katanya.
Untuk rekod, Anwar pernah dipecat keahlian Umno semasa Mahathir menjadi Presiden Umno pada tahun 1988.
Krisis itu menyebabkan, Anwar menggerakkan agenda reformasi menentang penzaliman Mahathir ke atasnya ketika itu.
Namun kini, Mahathir pula bertindak keluar Umno berikutan kekesalannya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang sangat lemah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan